LAMPU belakang rekaan baharu lebih jelas dan menarik.
LAMPU belakang rekaan baharu lebih jelas dan menarik.
Lizam Ridzuan


Volkswagen Group Malaysia Sdn Bhd (VGM) baru-baru ini melancarkan model baharu Volkswagen Vento dengan tiga varian untuk pasaran tempatan dalam kategori segmen B sedan.

Vento yang membawa maksud ‘angin’ dalam bahasa Itali dan Portugis menawarkan sebuah kenderaan kejuruteraan Jerman bertaraf dunia dengan prestasi terbaik tanpa mengurangkan aspek keselamatan.

Pengarah Urusan VGM, Armin Keller berkata, model sedan yang dipasang sepenuhnya (CKD) di negara ini ditawarkan dalam varian Trendline dan Comfortline manakala varian Highline dikuasakan enjin TSI pengecas turbo bersesaran 1.2 liter (L) yang mampu menjana kuasa 105PS dan tork maksimum 175Nm.

Beliau berkata, bagi varian Comfortline dan Trendline pula, ia dilengkapi enjin 1.6L hadir dengan transmisi automatik enam kelajuan bersama fungsi Tiptronic untuk kuasa 105PS dengan tork maksimum 153Nm.

“Kami yakin ia mendapat sambutan baik dalam pasaran kenderaan tempatan untuk menjadikan kenderaan Volkswagen mampu milik buat rakyat Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rekaan luaran Vento menyerlahkan DNA Volkswagen menggabungkan gril krom dan garis sisi bergaya dengan ciri binaan kukuh menerusi kimpalan laser ciri standard kejuruteraan automotif Jerman.

Ciri keselamatan terkini seperti kawalan kestabilan elektronik (ESC), sistem brek antikunci (ABS), empat beg udara dan sistem respons kemalangan pintar (ICRS) pada model Vento Highline diberi penarafan 5 bintang oleh ASEAN NCAP.

Kualiti pemanduan dan prestasi mengagumkan dengan enjin 1.2L apabila penggunaan bahan api sekitar 5.5L bagi setiap 100 kilometer manakala enjin 1.6L mencatatkan sekitar 6.5L bagi setiap 100km.

“Pengenalan tiga varian ini sebagai langkah memberi lebih tawaran kepada pengguna serta strategi pemasaran Volkswagen dalam mengukuhkan jenama di pasaran sambil menambah baik perkhidmatan selepas jualan,” katanya.

Vento baharu ditawarkan pada harga RM79,888 untuk Trendline, Comfortline (RM86,888) dan RM93,888 bagi Highline (harga atas jalan tanpa insurans) dengan lima warna menarik iaitu putih, merah, perak, kelabu serta hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:02 AM