PELABUR dan pedagang saham perlu mempunyai sikap peduli dan ambil tahu mengenai perkembangan ekonomi di sekeliling.
PELABUR dan pedagang saham perlu mempunyai sikap peduli dan ambil tahu mengenai perkembangan ekonomi di sekeliling.

Pada 1 April lalu, Malaysia menyertai 160 negara lain di dunia untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dengan kadar permulaan sebanyak enam peratus. Kesannya merangkumi banyak perkara termasuk kos pelaburan saham dan hartanah.

Yang dikenakan GST hanyalah ke atas yuran pembrokeran dan penjelasan bagi transaksi belian serta jualan saham dan yuran yang dikenakan oleh pengurus dana unit amanah.

Jadi jumlah caj GST hanya kecil berikutan cukai berkenaan dikenakan ke atas yuran saja. Sebagai contoh, seorang pelabur membeli saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM14,000 dan dikenakan yuran pembrokeran dan penjelasan sebanyak katakanlah, 0.5 peratus atau RM70.

GST yang perlu dibayar untuk yuran RM70 itu adalah sebanyak enam peratus atau RM4.20. Maka jumlah yuran pembrokeran dan penjelasan termasuk GST adalah RM74.20. Jadi kesan GST kepada pelabur dan pedagang runcit adalah sedikit sahaja.

Pelabur dan pedagang runcit menyumbang lebih daripada 26 peratus aktiviti perdagangan saham di Bursa Malaysia tahun lalu, manakala institusi tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) kira-kira 40 peratus, manakala penyertaan asing sebanyak 24 peratus.

Kesan GST akan dirasai oleh pelabur logam berharga yang berdagang produk fizikal seperti emas, perak, syiling, barang kemas dan koleksi lain kerana GST dikenakan ke atas nilai produk fizikal yang diniagakan.

Sebagai contoh, jongkong emas yang didagangkan pada harga RM10,000 akan tertakluk kepada enam peratus GST atas nilai dagangan atau RM600. Walaubagaimanapun, pelabur yang berdagang emas melalui akaun pelaburan emas tidak tertakluk kepada GST.

Sebagai pelabur, akan ada kos sampingan seperti caj pemindahan dana antara bank, yuran penjelasan cek, pertukaran mata wang asing yang juga tertakluk kepada GST apabila pelabur berurusan dengan bank bagi pemindahan dana untuk pelaburan.

Memang tidak dinafikan bahawa semua ini menambah kepada kos pelaburan, tetapi bayaran itu adalah sangat kecil. Sebagai contoh, jika caj yang dikenakan adalah RM5, GST ke atasnya adalah 30 sen sahaja.

Bagi pelabur hartanah, sama ada GST ada atau tidak, harga hartanah akan meningkat dengan kenaikan keseluruhan kos bahan binaan.

Satu fakta yang melegakan ialah kos tanah, yang merangkumi sebahagian besar daripada kos hartanah, tidak tertakluk kepada GST. Apapun, kenaikan harga ini mungkin tidak secara mendadak memandangkan sektor hartanah yang lesu masa kini dan sikap tunggu dan lihat para pelabur.

Walaupun nilai ringgit di kadar yang rendah dan sentimen ekonomi keseluruhan agak lemah, masih terdapat banyak peluang bagi pelabur Malaysia.

Indeks pasaran saham di Amerika Syarikat, seperti Dow Jones dan Nasdaq, yang menjadi kayu pengukur pasaran saham dunia dan tempatan berada di tahap tertinggi. Peluang terbuka bagi pelabur dan pedagang runcit yang bijak untuk meraih pulangan yang baik dari pasaran saham.

Setiap masalah pastinya membuka banyak peluang yang lain bagi mereka yang peka. Yang penting perlulah mempunyai sikap peduli dan ambil tahu mengenai perkembangan ekonomi di sekeliling dan carilah peluang untuk meningkatkan pendapatan antaranya seperti melalui pelaburan saham bagi menampung kesan peningkatan kos sara hidup dewasa ini.

Penulis ialah jurulatih pelaburan saham Wealth Magnet International Sdn Bhd

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 9:06 AM