TAJUDDIN .
TAJUDDIN .

Kuala Lumpur: Pelabur runcit perlu membangun atau memperhalusi portfolio pelaburan mereka di samping mencari sesuatu yang menepati keperluan masing-masing melalui penyertaan di pameran Marketplace Fair@Bursa.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Tajuddin Atan berkata, melabur dan berdagang secara langsung dalam pasaran saham akan membolehkan pelabur mengawal pengurusan porfolio mereka.

“Oleh itu, amat penting untuk memastikan keputusan dibuat berdasarkan maklumat pasaran yang tepat dan objektif.

“Saya menggalakkan pelabur runcit baru belajar dan sedia ada supaya merebut peluang ini untuk berbincang serta belajar secara langsung daripada pakar dan penganalisis pasaran berlesen,” katanya pada program Marketplace Fair@Bursa di sini, semalam.

Pameran pendidikan pelabur runcit yang dianjurkan pada 9 dan 10 Januari lalu itu menawarkan pelbagai kegiatan pendidikan dan seminar bertujuan membantu pelabur runcit berkembang serta melindungi kekayaan mereka.

Bertemakan There’s Something For Everyone on Bursa Malaysia, pameran terbabit dijangka menarik antara 1,500 dan 2,000 pelawat. Antara topik ditampilkan adalah Pelaburan untuk Orang Baru, Perdagangan dan Pelaburan: Strategi untuk Semua Pelaburan Patuh Syariah, Unjuran Ekonomi dan Pasaran serta Kewangan 101.

“Kami percaya pendemokrasian akses kepada maklumat kewangan pasaran dan penyediaan akses langsung kepada pakar pasaran akan membolehkan pelabur runcit kita untuk memperoleh ilmu yang cukup untuk membuat keputusan bijak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:41 AM