Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) menawarkan diskaun untuk Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah pada harga istimewa RM100 (termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan - GST) kepada pelaburnya bermula 1 hingga 30 April ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pelabur hanya perlu membayar RM100 berbanding kos biasa iaitu RM180 bagi satu kontrak Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah.

Katanya, setakat ini terdapat lebih kurang 14,000 yang mendaftar kontrak Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah sejak ia diperkenalkan pada 17 Mac 2013.

“Kedua-dua perkhidmatan ini membantu memudah cara perancangan harta pusaka pelabur membabitkan unit amanah mereka dalam ASNB, agar dapat diagihkan kepada waris yang diinginkan dengan lebih mudah dan pantas iaitu 21 hari selepas tuntutan.

“Selepas 30 April harga akan kembali pada yang asal iaitu RM180 (tidak termasuk GST),” katanya selepas pengumuman agihan pendapatan ASB2 di sini, semalam.

Hamad Kama berkata, bagaimanapun, ASNB hanya akan mengenakan GST sebanyak 6.0 peratus terhadap semua fi perkhidmatan yang dilakukan.

Beliau berkata, GST tidak akan dikenakan mengikut jumlah pengeluaran yang dibuat, tetapi hanya kepada caj perkhidmatan.

“Sebagai contoh, jika pelabur membuat penjualan unit bernilai RM10,000, GST hanya dikenakan ke atas perkhidmatan bukan pada nilai terbabit,” katanya.

Hibah Amanah dikhususkan kepada pemegang unit beragama Islam serta berlandaskan syariah, manakala Pengisytiharan Amanah bagi pelabur bukan Islam yang menerapkan konsep amanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:42 AM