Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Alif Irsyad tidak pernah mengimpikan untuk jatuh cinta dengan seorang pramusaji. Dunianya bagai bertukar paksi.

Teori Irsyad mudah. Gadis biasa seperti Nuzul tidak layak digandingkan bersamanya yang mempunyai pangkat tinggi dalam syarikat.

Namun, tanggapannya jauh meleset. Dia tidak pasti sama ada ia disebabkan sumpahan atau doa seorang sahabat. Bermati-matian Irsyad menafikan rasa cintanya.

Namun, pesona si gadis merantai naluri. Akhirnya bisikan asmara mendahului jiwa yang kehausan cinta. Lantaran itu, Irsyad akur demi meneguk kasih wanita bernama Nuzul Filzah.

Nyata takdir menguji kasih yang terjalin. Kehilangan Nuzul hampir meragut kewarasan Irsyad. Gadis itu pergi bersama separuh nyawanya hingga menyebabkan Irsyad tenggelam punca.

Setiap hari yang ditempuh umpama mayat hidup. Empat tahun berlalu menemukan mereka semula. Apabila mata bertentangan, memori pahit mengundang kebencian antara dua hati.

Memadamkan rindu dendam yang menguasai jiwa mereka selama ini. Irsyad dan Nuzul saling menyakiti demi menyembunyikan getaran cinta yang sama seperti empat tahun lalu.

Lantaran gagal membendung perasaan, malam itu Irsyad bertindak di luar pedoman. Cinta, rindu dan dendam membakar semangatnya untuk memiliki Nuzul.

Dia harus memasung sepasang kaki itu agar terikat di sisinya. Setiap kali persoalan itu berbangkit, Nuzul memilih untuk berdiam diri. Irsyad kecewa demi menuntut jawapan.

Semakin dia ingin mengetahui, semakin bijak Nuzul mengelak. Walaupun ijab dan kabul termeterai, erti bahagia sukar dikecapi. Rumah tangga yang bertunjangkan cinta menjadi suram lantaran penghuninya berlaku dingin.

Demi rahsia, Irsyad tegar menyakiti wanita yang dicintai. Selagi si isteri berdiam diri, bulan madu mereka terus tertangguh. Biarpun seribu kali hatinya tercedera, Nuzul bertahan kerana mencintai suami.

Bukan sengaja mahu mendera diri, tapi Nuzul yakin mereka boleh bahagia tanpa mengetahui rahsia tersebut.

Tajuk: Pembancuh Kopi Mr Vampire

Penerbit: Kaki Novel

Penulis: Aii Fariza

Harga: RM25

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 12:39 PM