Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan pemain tengah Selangor Mohd Nazmi Faiz Mansor yang dilayangkan kad merah kerana meludah pemain lawan.

Pemain berkenaan diarahkan meninggalkan padang oleh pengadil Suhaizi Shukri pada lewat perlawanan selepas insiden dengan penyerang Kelantan dari Colombia Erwin Carillo.

Nazmi Faiz dilayangkan kad merah manakala Carillo menerima kad kuning pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, insiden berkenaan akan disiasat dengan teliti.

“FAM sudah mendapat laporan daripada pegawai dan pengadil perlawanan. Terdapat dalam laporan mendakwa Nazmi Faiz meludah Carrillo.

“Namun insiden ini akan disiasat bagi memberi keadilan kepada semua pihak yang terbabit,” katanya.

Sekiranya ia benar-benar berlaku, ia bukan insiden pertama membabitkan pemain yang pernah menimba pengalaman di Portugal itu.

Dia pernah digantung enam perlawanan ketika mewakili skuad negara di Sukan SEA Singapura pada pertengahan tahun ini apabila didapati bersalah meludah pemain Timor Leste.

Insiden terbaru di Stadium Shah Alam berkenaan turut memungkinkan Nazmi Faiz berdepan penggantungan sekurang-kurangnya enam perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:06 AM