PENYERANG Terengganu Paulo Rangel (kanan) cuba melepasi asakan  pemain Kelantan Jonthan David.
PENYERANG Terengganu Paulo Rangel (kanan) cuba melepasi asakan pemain Kelantan Jonthan David.
Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Walaupun melakar kemenangan, ketua jurulatih Terengganu Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan anak buahnya kurang menyerlah dan tidak beraksi seperti diharapkan sepanjang 90 minit.

“Terengganu gagal menampilkan aksi lebih mantap malam ini (kelmarin) dan nampak sedikit ‘berkarat’ serta kurang meyakinkan.

“Mungkin tempoh rehat tiga minggu menjejaskan momentum setiap pemain,” katanya.

Bekas pengendali kebangsaan itu turut mengakui persembahan lawan jauh lebih baik dan Terengganu acap kali cemas dengan asakan bertali arus skuad The Red Warriors, bimbingan jurulatih baru Mohd Azraai Khor Abdullah.

“Pada babak pertama beberapa percubaan bahaya mereka hampir menembusi gawang kami. Bagaimanapun selepas rehat pemain saya dapat bangkit mengimbangi perlawanan.

“Namun kami hanya bertahan setakat 25 minit, selepas itu mereka kembali menguasai perlawanan. Bagaimanapun kami bernasib baik menang 2-1,” katanya.

Mengulas mengenai pemain import baru Issey Morgan Nakajima Farran, pengendali berusia 69 tahun berkata, bekas pemain Crystal Palace itu menghidupkan perlawanan selepas dimasukkan pada babak kedua.

“Pertama kali beraksi, saya lihat dia mampu memberi impak sepanjang 20 minit pertama, tapi selepas itu tempo Farran sedikit hilang. Apapun saya percaya dalam dua perlawanan lagi dia mampu beraksi dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:14 AM