SEGOVIA (kiri) diasak pemain Terengganu Hafizal Mohamad.
SEGOVIA (kiri) diasak pemain Terengganu Hafizal Mohamad.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Selangor terlepas peluang untuk membuka kempen Kumpulan D Piala Malaysia dengan bergaya apabila sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini malam tadi.

Biarpun berada di kedudukan terbaik untuk meraih tiga mata penuh apabila mendahului pada babak pertama menerusi jaringan Rufino Segovia, skuad Red Giants membenarkan pelawat bangkit dengan gol penyamaan Issey Nakajima Farran pada babak kedua.

Selangor turun sekali lagi di laman sendiri selepas menundukkan satu lagi kelab dari Terengganu, T-Team 4-2 dalam aksi Liga Super Sabtu lalu.

Jurulatih Red Giants P Maniam mengekalkan kesebelasan utamanya dengan mempertaruhkan penyerang tiga serangkai Segovia, Francis Forkey Doe dan Andik Vermansyah untuk menggempur kubu Terengganu.

Tuan rumah terlebih dulu melakukan percubaan menerusi rembatan Amri Yahyah pada minit ke-16 namun berjaya dihalang pertahanan Firdaus Faudzi.

Bagaimanapun Firdaus kemudian melakukan kesilapan dengan menjatuhkan Raimi Md Nor dalam kotak penalti dan pengadil Khairul Azuan Kidam tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Selangor.

Namun Terengganu bernasib baik apabila penyerang import tuan rumah Forkey Doe yang ditugaskan mengambil sepakan itu sekadar melepaskan rembatan terkena tiang gol ketika penjaga gol Suffian Ab Rahman sudah tertewas pada minit ke-31.

Skuad Penyu cuba mengasak menerusi tandukan Nakajima Farran pada minit ke-39 namun tidak menepati sasaran.

Penyokong Red Giants akhirnya bergembira apabila penyerang dari Sepanyol, Segovia meledak gol pada minit ke-43, jaringan kedua peribadinya dalam dua perlawanan.

Pelawat bangkit mengasak pada babak kedua dengan beberapa percubaan namun tidak berhasil hinggalah peluang terbaik tiba apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan Selangor Ugo Ukah menjatuhkan Nakajima Farran.

Pemain itu tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu untuk Terengganu pada minit ke-64 dan kedudukan 1-1 kemudian kekal hingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 5:13 AM