PEMAIN PDRM meraikan kejayaan bersama penyokong.
PEMAIN PDRM meraikan kejayaan bersama penyokong.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Muncul pendahulu dalam carta Liga Super ketika ini melegakan pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) Azman Adnan yang terus menuntut aksi lebih konsisten agar The Cops terus unggul di persada liga.

Kemenangan 3-1 ke atas Terengganu kelmarin di luar jangkaannya apatah lagi tiga jaringan itu berlaku dalam tempoh 20 minit awal babak pertama.

“Saya bersyukur dengan kemenangan ini walaupun sedar Terengganu bukan calang-calang pasukan. Tapi pemain sudah menunjukkan semangat ‘perang’ yang kuat untuk mencipta tiga mata penting,”katanya.

Ternyata percaturan Azman yang mahu pemainnya mencari gol awal sentiasa memberi tekanan ke atas pertahanan pelawat sehingga akhirnya membuahkan hasil apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi sentuhan bekas pemain Negeri Sembilan Shahurain Abu Samah pada minit ketujuh.

Dramane Traore menambah gol kedua m-17 sebelum ayam tambatan tuan rumah, Ali Ashfaq melengkapkan gol ketiga m-20. Skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim memperoleh gol saguhati menerusi Issey Nakajima-Farran pada masa kecederaan.

“Sebenarnya dari awal lagi ketika di bilik persalinan saya memberitahu pemain agar memberi tekanan kepada mereka (Terengganu) dari awal dan cuba mencari gol dalam babak pertama.

“Sekiranya pemain gagal memberi tekanan, kemungkinan lawan akan menguasai perlawanan dan kami pula akan tertekan. Saya tahu pemain saya berkualiti dan terbukti mereka hadirkan kemenangan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:08 AM