LATIFF (kiri) tak dapat beraksi kerana masih mengalami kecederaan.
LATIFF (kiri) tak dapat beraksi kerana masih mengalami kecederaan.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu pasti tempang apabila kehilangan enam tonggak utama menjelang suku akhir pertama Piala FA menentang Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, Sabtu ini.

Keadaan itu sekali gus memeningkan kepala pengendali berpengalaman skuad Penyu itu, Irfan Bakti Abu Salim untuk merencana taktikal ampuh ketika saingan berbaki lima hari saja lagi untuk membuat perhitungan pertama dengan skuad Bujang Senang itu.

Irfan berkata, empat pemainnya termasuk kapten Latiff Suhaimi, pertahanan Izuan Jarudin, pemain tengah K Parthiban dan penjaga gol utama Amierul Hakimi Awang masih lagi bergelut dengan kecederaan.

Selain itu dua lagi pemain Firdaus Faudzi yang beraksi di benteng pertahanan dan pemain tengah Issey Nakajima Farran juga tidak dapat membantu pasukan kerana digantung perlawanan selepas menerima dua kad kuning dan kad merah.

“Saya akan melihat perkembangan empat pemain yang mengalami kecederaan itu dan jika gagal sembuh sebelum pertemuan itu nanti kami tidak ada pilihan kecuali mencuba pemain simpanan untuk mengisi posisi yang ditinggalkan.

“Bagaimanapun saya yakin pemain simpanan juga mampu menggalas tugas dengan berkesan dalam aksi penting itu bagi memastikan skuad kami menang dengan bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di laman lawan nanti,” ujar pengendali berusia 66 tahun itu.

Mengulas lanjut Irfan mengakui beliau boleh menarik nafas lega apabila tiga pemain importnya iaitu pertahanan Lazaro Vinicius dari Brazil, pemain tengah dari Uzbekistan Lutfulla Turaev dan Nakajima Farran kian menampilkan aksi yang meyakinkan dalam setiap perlawanan.

“Tiga pemain import ini berjaya memperagakan aksi mantap setiap kali beraksi dan antara tunjang kekuatan pasukan, bagaimanapun saya harapkan seorang lagi pemain import Federico Falcone mampu beraksi cemerlang untuk meledak seberapa banyak jaringan sebagai bekalan,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 6:24 AM