Oleh Amirul Haswendy Ashari


Selepas berjaya membuka Akademi Filem sendiri, Akademi Filem Ahmad Idham (AIFA) di Nusajaya, Johor, pengarah dan penerbit popular, Ahmad Idham Nadzri maju setapak lagi dalam bidang pendidikan apabila bakal menubuhkan sekolah pendidikan khas.

Sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak istimewa itu tercetus idea selepas Ahmad Idham menghantar anaknya, Ahmad Firdaus, 15, ke Sekolah Pendidikan Khas St Claire, sekolah khas untuk kanak-kanak istimewa di Singapura.

Demi mahukan masa depan anaknya terjamin, bapa empat anak itu sanggup menjual rumah dan meninggalkan kerjayanya di Kuala Lumpur lebih setahun lalu.

“Idea untuk membuka sekolah khas itu bermula daripada isteri yang pernah menyuarakan hasrat membuka tadika di sini (Johor).

“Tapi saya kata, kenapa tidak buka sekolah khas yang menggunakan silibus sama digunakan di sekolah khas anak kami ditempatkan,” katanya.

Dia dan isteri, berbincang dengan pihak sekolah di Singapura untuk menggunakan silibus dan teknik pengajaran mereka di Malaysia.

Apatah lagi di sini belum ada sekolah khas menggunakan teknik pengajaran yang disifatkan antara terbaik di dunia untuk kanak-kanak istimewa.

Dengan penubuhan sekolah itu di Malaysia, Ahmad Idham dapat mempelawa ibu bapa yang mempunyai anak yang perlukan pendidikan khas pada harga lebih murah.

“Kos menghantar anak saya ke Singapura mencecah hampir RM150 setiap hari, termasuk tol, minyak dan VEP (permit kemasukan kenderaan). Kos untuk satu tahun mencecah RM100,000.

“Masa sama, saya juga perlu mengambil kira perbelanjaan pendidikan untuk anak-anak saya lain yang bersekolah di Johor,” katanya.

Pengarah filem Hantu Nan Sempit dan Hantu Bonceng itu berkata, sekolah pendidikan khas sedia ada di Malaysia disifatkan belum mencapai tahap kemajuan tersendiri dan lebih kepada pusat jagaan harian.

Katanya, dia berbangga kerana Ahmad Firdaus sudah mampu membuang rasa malu dan menunjukkan sifat berani serta berdikari. Ia jauh berbeza daripada apa yang dilalui remaja itu ketika pernah bersekolah di sini.

Pada peringkat awal, Ahmad Idham akan memulakan sekolah itu dengan menyewa rumah kedai di Nusajaya. Sekolah Pendidikan Khas St Claire bukan setakat sekolah pendidikan khas biasa tapi mereka juga turut mempunyai kerjasama dengan universiti khas di Amerika yang menempatkan pelajar keperluan khas.

“Pelajar sekolah itu berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi dan ia satu perkara yang membanggakan ibu bapa,” katanya kini dalam peringkat rundingan bersama sekolah itu.

Sekiranya projek terbaru ini berjalan lancar, Ahmad Idham berharap bukan saja anaknya akan mendapat pendidikan khas sempurna di negara sendiri, malah anak-anak istimewa lain juga.

Mengenai kerjaya seni, selepas kali terakhir mengarah filem Tembus, Ahmad Idham bakal tampil dengan dua filem baru dalam masa terdekat.

Katanya, selama setahun meninggalkan kerusi pengarahan, jiwanya bergelodak untuk kembali mengarah filem bergenre dekat dengan hatinya.

“Sebelum ini, saya buat filem mengikut selera mereka yang mengatakan inilah filem yang sepatutnya dihasilkan. Tapi hasilnya ia tidak membawa pulangan kepada penerbit.

“Saya perlu penuhi selera penonton setia saya. Setakat ini, jika ada yang sedar filem berkaitan motor yang saya hasilkan tidak pernah mengecewakan,” katanya.

Dilihat pada sejarah pengarahan Ahmad Idham, semua filem berkaitan permotoran berjaya mengutip lebih sejuta ringgit berbanding filem genre romantik atau drama. Selain Adnan Sempit mencecah RM7.66 juta dan terbaru, Hantu Nan Sempit lakonan Hazama (RM1.5 juta).

“Pada masa ini, saya masih dalam peringkat perkembangan skrip untuk filem Mat Motor dan ia dijangka menjalani pengambaran tidak lama lagi.

“Melalui sesi bertemu dengan kelab motosikal di Johor, saya terkejut kerana acara itu dipenuhi lebih 2,000 motosikal untuk promosi awal filem Mat Motor,” katanya menjadi pembakar semangat untuk kembali mengarah filem genre rempit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2015 @ 5:08 AM