IDHAM (kiri) wujudkan tabung khas kumpul dana
IDHAM (kiri) wujudkan tabung khas kumpul dana
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, penerbit dan pengarah, Dr Ahmad Idham menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Pertubuhan Ibu Bapa Anak-anak Istimewa (Prisma).

Idham berkata, usaha awal Prisma adalah untuk mewujudkan tabung khas bagi mengumpul dana menubuhkan Pusat Intervansi Awal Kanak-kanak di seluruh negara.

"Antara usaha awal Prisma adalah melalui usaha sama dengan platform infaq digital, Rezeki Infaq. Di mana pihak mereka akan mewujudkan Tabung Sinar Firdaus.

"Sumbangan masyarakat kepada tabung ini melalui Rezeki Infaq akan digunakan sebagai dana penubuhan Pusat Intervansi Awal Kanak-Kanak di seluruh negara," katanya.

Penubuhan pusat intervansi itu akan turut menyediakan pendidikan dan terapi khusus kepada anak-anak istimewa seawal usia tiga hingga enam tahun.

"Contohnya Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di bawah Kementerian Pendidikan, saya tidak nampak ada koordinasi yang lebih sistematik dari sudutĀ  modul pendidikan khas di mana kita tahu sekolah PPKI hanya akan mengambil anak-anak istimewa bermula dari umur tujuh tahun sahaja.

"Oleh itu, sebagai usaha awal dari pihak saya, Prisma akan memainkan peranan penubuhan pusat intervansi itu. Malah sumbangan masyarakat melalui Tabung Sinar Firdaus turut digunakan untuk menaja anak-anak istimewa dari keluarga B40," katanya.

Selain itu, Idham juga merancang untuk mewujudkan pelbagai program kesedaran serta latihan kepada ibu bapa yang mempunyai anak istimewa di bawah Prisma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 6:04 PM