Ahmad Idham bersama Nina Juren yang mengunjungi restorannya. FOTO NSTP/IG Ahmad Idham
Ahmad Idham bersama Nina Juren yang mengunjungi restorannya. FOTO NSTP/IG Ahmad Idham
Amirul Haswendy

"SAYA buka restoran ini bukan sebab sudah hilang minat kepada industri perfileman tetapi sebab memang penggemar makanan Korea," kata pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Nadzri selepas membuka sebuah restoran Korea di Kota Damansara.

Pengarah filem Mr Cinderella, berkata idea membuka restoran dikenali Gang Jung Ene itu tercetus selepas berkunjung ke Korea Selatan untuk menerima anugerah Pengarah: Sumbangan Perhubungan Antarabangsa di Festival Filem Asia Award 2018 pada Januari tahun lalu.

"Ketika di sana, saya berkesempatan bertemu dengan beberapa usahawan tempatan yang berminat membuka perniagaan di Malaysia.

"Antara yang sudi menjadi rakan niaga ialah pengarah dan penerbit filem Korea Selatan, Kwon Nam Cheol yang kebetulan pengasas serta pemilik jenama Ayam Brand Korea," kata Ahmad Idham.

Katanya, Kwon yang juga seorang chef turut melatih dua chef tempatan resepi masakan Ayam Goreng Korea yang popular dari negara itu.

Ahmad Idham yang turut aktif menceburi bidang pendidikan melalui Akademi Filem Ahmad Idham (AIFA) dan Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus, mendedahkan dia melabur RM200,000 untuk membuka restoran itu.

Katanya, walaupun sudah meluaskan pengaruh ke bidang industri makanan, dia tetap akan aktif dalam bidang hiburan.

"Saya baru saja selesai mengarah dua buah filem seram berjudul Town Mall dan Anak Perjanjian Syaitan, selain sebuah drama dan berlakon.

"Insya Allah saya akan kembali ke set untuk mengarah filem aksi pula iaitu Impak Maksima Underground dan Kompaktor dalam masa terdekat," katanya baru selesai mengarah sitkom Spanar Jaya X.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 7:24 PM