SAHABAT dan kenalan artis mengusung jenazah Juwie. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru. FOTO Yazit Razali
SAHABAT dan kenalan artis mengusung jenazah Juwie. Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru. FOTO Yazit Razali
Oleh Siraj Mohd Zaini

Selayang : Jenazah wartawan hiburan veteran yang juga penulis lirik, Abdul Jalil Saleh, 62, atau lebih dikenali sebagi Juwie, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Selayang Baru, di sini, 11 pagi, hari ini.

Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, 10.30 malam tadi.

Jenazah dimandi dan dikapankan dihospital itu sebelum disembahyangkan di Surau Al-Tarbiah Darul Falah berhampiran Taman Selayang Baru dan dibawa ke tanah perkuburan 10.30 pagi.

Antara yang hadir bagi memberi penghormatan Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Tan Sri Johan Jaafar serta rakan artis termasuk Datuk Khatijah Ibrahim, Erra Fazira, Datuk Ahmad Nawab dan rakan-rakan media.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai wartawan di Berita Harian pada 1974 sebelum menyertai Utusan Malaysia pada 1984.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 2:20 PM