Zatul Iffah Zolkiply


"KETIKA kejadian, saya sedang bersiap untuk solat Subuh sebelum terdengar jeritan meminta tolong yang disangkakan suara jiran tanpa menduga ia sebenarnya jeritan anak."

Begitu kata Zaleha Muda, 51, ibu kepada Ahmad Farid Mohammad, 28, yang maut selepas dibelasah dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing, Marang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa yang juga anak sulung daripada empat beradik dikatakan sempat menceritakan kepada ibunya sebelum rebah dan tidak sedarkan diri.

Mangsa disahkan meninggal dunia setengah jam selepas kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Zaleha berkata, jeritan yang semakin kuat menyebabkan dia segera keluar untuk membuat pemeriksaan sebelum ternampak anaknya berada dalam keadaan lemah dan menanggung kesakitan.

"Mula-mula ingat orang sebelah rumah namun selepas beberapa kali, saya keluar nampak anak di sebelah kereta sebelum saya papah dia masuk ke dalam rumah.

"Masa itu anak lemah sangat dan dia ada bagi tahu ada tiga lelaki pukul dengan dua daripadanya dikenali.

"Saya ada juga dengar mereka sebut pasal hutang, namun saya tak pasti sebab anak tidak pernah bercerita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Gasing, Marang.

Zaleha berkata, apabila keadaan anaknya semakin lemah menyebabkan dia menghubungi ambulans kerana arwah menghidap penyakit lelah.

"Saya dan suami, Mohammad Awang, 52, sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, dan pasukan perubatan yang hadir kemudian bagi tahu anak sudah tiada.

"Saya tidak tahu apa punca mereka bertindak sedemikian dan mahu mereka dikenakan hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan," katanya.

Berita berkaitan

Sempat cerita pada ibu sebelum ajal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 4:50 PM
ZALEHA menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Farid yang maut dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing, Marang. FOTO Ghazali Kori
ZALEHA menunjukkan gambar anaknya, Ahmad Farid yang maut dipercayai akibat dipukul dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing, Marang. FOTO Ghazali Kori