Sudah habis madu, sepah dibuang. Itulah perumpamaan paling sesuai untuk gambarkan cerita yang bakal dikongsi ini. Oops! Ini bukan kes pasangan kekasih atau suami isteri ya, tetapi trio kerohanian.

Kumpulan vokal ini dianggotai tiga penyanyi yang masing-masing punya kehebatan tersendiri dan dua daripada mereka sangat popular satu ketika dulu.

Dengan kemasukan dua anggota baru ini, kumpulan ini bergerak menghasilkan album yang memuatkan lagu kerohanian namun masih mengekalkan elemen komersial dalam melodinya.

Malangnya, seorang anggota yang menjadi penggerak utama pembikinan album itu disingkir oleh anggota asal kumpulan itu ketika buah tangah mereka belum sempat dipasarkan.

Lebih panas apabila anggota asal kumpulan itu mendakwa anggota yang dibuang itu pecah amanah dan menyeleweng wang. Untuk memudahkan cerita, Sha gelar anggota yang dibuang itu si A. Dia memfitnah dan memburuk-burukkan si A hingga ramai termakan kata-katanya.

Sampai ada yang menjauhkan diri daripada si A dan langsung tidak mengangkat telefon apabila si A cuba menjelaskan kedudukan sebenar. Sudahnya, si A tiada ruang untuk membersihkan namanya, sebaliknya terus dipersalahkan hingga sekarang.

Semuanya berpunca daripada salah faham tetapi jika mereka bertiga duduk berbincang, pasti tidak timbul masalah ini. Si A cuba menghubungi dua rakannya tetapi tidak dilayan dan dia juga tahu dirinya disingkir daripada mulut orang lain.

Sha difahamkan, sepatutnya kumpulan itu bernaung di bawah sebuah label yang menerbitkan lagu nasyid tetapi dalam proses menyiapkan rakaman album, timbul masalah dan mereka berpindah ke label lain.

Jadi, label baru itu kena bayar jumlah tertentu kepada label lama dan si A diarah menguruskan penyerahan pembayaran berkenaan. Nak dijadikan cerita, si A sudah serah sebahagian besar bayaran kepada label lama dan minta izin menggunakan baki-nya untuk mendahulukan bayaran lain. Label lama mengizinkan dan beberapa minggu kemudian menerima baki bayaran dariapda si A.

Jadi tiada lagi hutang, namun Sha difahamkan, anggota asal kumpulan itu tanpa usul periksa menuduh si A larikan duit.

Seperkara lagi yang menge-ruhkan lagi keadaan apabila dia memfitnah si A tidak menyerahkan bayaran persembahan program TV, sedangkan pihak TV sudah maklumkan tak dapat buat bayaran pada waktu dijanjikan. Kumpulan itu akan dapat bayaran sebulan kemudian.

Sekali lagi si A dipersalahkan, malah anggota asal kumpulan ini dikatakan mengirim e-mel kepada banyak pihak untuk memberitahu si A 'makan duit'. Walhal si A sudah serahkan duit kepadanya sejurus selepas menerima bayaran daripada stesen TV itu. Bukan anggota asal itu tidak tahu bayaran menjayakan program TV bukan boleh dapat sejurus selepas acara selesai.

Apabila album keluar, vokal si A digantikan dengan penyanyi lain tetapi susunan muzik yang dilakukan si A dan suara latarnya masih dikekalkan. Siapa tak sedih, kerja kerasnya selama setahun langsung tidak dihargai sebaliknya dia ditikam dari belakang.

Besar sungguh dugaan si A. Sha harap dia tabah dan jangan patah semangat. Tak mengapalah, doa orang teraniaya dimakbulkan Ilahi. Mana tahun selepas ini dapat projek lebih besar dan semakin murah rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Oktober 2014 @ 5:00 AM