Bercakap mengenai hutang, memang takut dibuatnya. Namun, masih ramai yang ambil mudah perkara ini.

Walaupun pihak yang dihutang itu tidak datang menuntut, sepatutnya kena ada inisiatif sendiri untuk menjelaskannya.

Jika tidak mampu langsaikan, cuba bayar sedikit demi sedikit. Tidaklah terus berdiam diri dan buat-buat lupa.

Seperti seorang artis wanita ini, jika dilihat gaya hidup dan jadual persembahannya pasti tak percaya yang dia sebenarnya berhutang keliling pinggang.

Teman SS yang menjadi mangsa artis ini tahu siapa dia sebenarnya.

Sebelum dia berkahwin, banyak program dan aktiviti syarikatnya memanggil artis ini untuk menjayakan persembahan.

Atas dasar kawan, meriah juga ‘show’ artis wanita itu. Tapi satu sikap buruknya ialah dia suka berhutang.

Ingatkan apabila sudah berkahwin dapatlah dia langsaikan hutang itu, sebaliknya dia cuba mengelak bertemu pihak terbabit.

Pihak yang dihutang itu pula malas nak kecoh, jadi dia tunggu saja hingga artis wanita terbabit membayar wang yang dipinjam.

Kata teman SS, jumlah yang dipinjam tidaklah mencecah puluhan ribu ringgit, tapi atas istilah pinjam dan hutang, ia wajib dituntut.

Lagi pula, takkan dalam tempoh setahun artis wanita itu tidak mampu langsaikan.

Menurut teman SS lagi, separuh daripada bayaran sekali persembahan artis itu sudah boleh langsaikan hutangnya.

Namun, dia tidak pernah cuba nak membayar. Nasib baiklah pihak yang dihutang itu bukan along, kalau tidak tentu nasibnya lebih buruk.

SS: Lain kali, ukur baju di badan sendiri. Apabila sudah mula berhutang, pasti sukar nak buang tabiat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 12:31 PM