Oleh Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu hampir pasti mengikat pemain kebangsaan Kanada, Issey Morgan Nakajima Farran selepas pemain itu mempamerkan aksi memberangsangkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata, pemain yang mendapat kerakyatan Jepun itu menjalani sesi pemilihan di Kuala Terengganu semalam dengan menunjukkan kualiti lebih baik berbanding pemain kelahiran Portugal Jaime Braganca.

“Ini kualiti yang kami cari. Kini terserah kepada jurulatih dan pihak pengurusan untuk membuat keputusan mahu mengikat pemain itu atau sebaliknya,” katanya.

Semalam, pemain berusia 30 tahun itu yang pernah beraksi bersama kelab Crystal Palace mengundang suasana ceria bagi peminat dan juga pihak pengurusan apabila memperagakan aksi membanggakan ketika pertama kali menjalani sesi pemilihan.

Bagaimanapun, Arpin menyatakan PBSNT tidak mahu membuat keputusan terburu-buru berhubung pemain itu sebaliknya masih mahu menilai kemampuan pemain kelahiran Kanada itu.

“Selain itu, kami juga akan melihat rekod perubatan pemain itu dan akan berbincang mengenai kontrak dan gaji. Saya difahamkan gaji diminta pemain itu terlalu tinggi,” katanya.

Mengenai Braganca, Arpin memaklumkan khidmat pemain Timor Leste itu hampir pasti tidak akan ditagih selepas gagal menyerlah biarpun beberapa kali diberi peluang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2015 @ 7:59 AM