Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Bekas penyerang West Ham United dalam Liga Perdana Inggeris, Victor Nsofor Obinna (gambar) kini berada dalam radar Terengganu untuk diserapkan dalam pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penyerang berusia 28 tahun itu yang juga pernah menyarung jersi Lokomotiv Moscow dalam Liga Russia serta Malaga dalam Liga Sepanyol dijangka menguatkan jentera serangan skuad Peteh.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Arpin Draman berkata, pemain kelahiran Jos, Nigeria itu dijangka tiba di Kuala Terengganu minggu ini untuk melengkapkan kuota pemain import keempat skuad berkenaan selepas mengekalkan tiga pemain import musim lalu Vincent Bikana, Gustavo Lopez dan Issey Nakajima-Farran.

“Bekas pemain kebangsaan Nigeria itu dijangka tiba minggu ini berdasarkan perbincangan dengan ejen pemain itu dan berharap pemilihan pemain tinggi lampai itu akan dapat menambah sengat pasukan,” katanya.

Sebelum ini, pasukan yang juga digelar Sang Penyu itu berhajat untuk mengikat bekas pemain import Kelantan dan Pahang Dickson Nwakaeme, namun membatalkan hasrat itu kerana tuntutan gaji yang terlalu tinggi.

“Memang kami berhasrat untuk mengambil Nwakaeme, tapi dengan gaji yang terlalu tinggi dimintanya membuatkan kami mengambil keputusan untuk tidak mengikat pemain itu sebaliknya mencari pemain lain bagi mengisi kuota pemain import terakhir.”

Bagaimanapun, Arpin berkata, Obinna yang kini beraksi bersama kelab MSV Duisburg dalam divisyen dua Jerman perlu menjalani prosedur seperti pemain lain sebelum menandatangani kontrak bersama Terengganu.

“Kami tidak mahu mengikat pemain yang ‘sakit’ dan kurang menyengat, oleh itu Obinna perlu menjalani ujian kecergasan, pemeriksaan kesihatan dan perlu mempamerkan taring sebagai penyerang berbisa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:52 AM