Terengganu mendapat banyak permintaan daripada Asia dan Eropah kata Wan Ahmad Nizam. Foto fail NSTP
Terengganu mendapat banyak permintaan daripada Asia dan Eropah kata Wan Ahmad Nizam. Foto fail NSTP

Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mencari seorang lagi pemain import untuk melengkapkan kuota empat pemain import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2016.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata untuk itu, pihaknya akan mengadakan sesi pemilihan secara terbuka di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada 16 Dis ini.

"Kita banyak menerima permintaan daripada pemain baik dari sebelah Asia mahupun Eropah untuk bermain dengan Terengganu tahun depan," katanya di sini hari ini.

Menurut Wan Ahmad Nizam, PBSNT mempelawa mana-mana pemain import yang berminat terutama diperlukan bahagian posisi penyerang untuk mewakili Terengganu tetapi mereka perlu menjalani sesi ujian yang dikendalikan pihak pengurusan PBSNT terlebih dahulu.

Terengganu sudah mempunyai tiga pemain import iaitu Vincent Bikana dari Cameroon, Gustavo Fabian Lopez (Argentina) dan Issey Nakajima-Farran (Kanada).

Katanya senarai nama 25 pemain untuk membawa cabaran Terengganu dalam Liga-M musim depan kini hampir lengkap dan latihan telahpun mula dijalankan dengan dikendalikan jurulatihnya Ahmad Yusoff.

Ini berikutan pasukan Terengganu telah diperkuatkan dengan tiga pemain baru - Joseph Kallang Tie dari Sarawak, Amirizdwan Taj Tajuddin (Kelantan) dan Yong Kuong Yong (Pulau Pinang).

Begitupun, beliau berkata Terengganu kini kehilangan pemain tonggak apabila Abdul Manaf Mamat berhijrah ke pasukan Kelantan pada musim depan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 10:10 PM