Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bola Sepak Negeri Terengganu (PETEH) mengharapkan tidak ada campur tangan pihak tidak bertanggungjawab berhubung pemilihan pemain import keempat yang kini menimbulkan sedikit kekeliruan.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata, biarlah pemilihan pemain yang bakal mengisi kuota pemain Asia itu diberi penuh tanggungjawab kepada jurulatih dan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Mereka (jurulatih dan PBSNT) lebih arif mengenai perkara ini, biarlah mereka yang membuat pemilihan pemain import keempat skuad Peteh ini serta janganlah timbul pelbagai isu yang boleh menjatuhkan imej persatuan dan pasukan Terengganu.

“Bagaimanapun, PETEH berharap antara jurulatih dan pihak pengurusan perlu ada kolaboratif yang erat serta perbincangan dalam sesuatu perkara termasuk dalam isu pemilihan pemain import ini supaya tidak mengganggu prestasi pemain dan pasukan,” katanya yang tetap berdiri di belakang PBSNT.

Akhbar sebelum ini melaporkan pemain berasal dari Portugal yang mendapat kerakyatan Timor Leste, Jaime Braganca menarik minat ketua jurulatih Abdul Rahman Ibrahim untuk disenaraikan dalam skuad Peteh pada jendela kedua 1 April ini, namun pemain itu belum pasti diikat kerana masih belum menyelesaikan beberapa perkara termasuk taraf kerakyatannya.

Mengulas lebih lanjut, Wan Mohd Azmi turut menuntut PBSNT tidak membuat keputusan silap dengan mengikat pemain import tidak berkualiti seperti berlaku pada musim lalu yang menyaksikan awang import banyak memanaskan bangku simpanan.

Selain itu, beliau mengharapkan PBSNT tidak membuat keputusan tergesa-gesa sebaliknya perlu mengintai dan menguji pemain import lain terlebih dulu jika Braganca tidak memenuhi kriteria yang diperlukan jurulatih dan PBSNT.

“PETEH yang terus menyokong pasukan mengharapkan pisang tidak berbuah dua kali berhubung isu berkenaan serta meminta pihak PBSNT mengkaji dan menilai secara teliti sebelum mengikat pemain import kerana masih mempunyai masa untuk berbuat demikian,” katanya yang bangga dengan prestasi semasa tiga pemain import Terengganu.

Musim lalu Terengganu mengikat empat pemain import bagaimanapun dua daripada pemain itu Javier Estupinan dan Moustapha Dabo yang ditandatangani pada jendela perpindahan kedua gagal menyerlah serta lebih banyak memanaskan bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:46 AM