Georgetown: Pasukan Extra Gear (EG) mempertaruhkan lapan pelumba wanita pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Nibong Tebal, hari ini.

Dengan meletakkan harapan terhadap dua pelumba utama Rosmah Othman, 37, dan Erni Ayuni Rahim, 30, EG mensasarkan kedudukan podium, sekali gus menjadi pasukan wanita terbaik untuk MTB kali ini.

Erni berkata, pasukannya sentiasa memberi saingan dan semakin dikenali dalam pertandingan basikal lasak yang diadakan di wilayah utara.

Menurutnya, pada kejohanan sama di Lembah Bujang, Kedah tahun lalu, Rosmah menduduki tempat kedua, manakala dia berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

"Di Nibong Tebal kali ini, saya dan Rosmah mensasarkan kejayaan menaiki podium, sekali gus memperbaiki kedudukan," katanya yang beraksi dalam kategori Jamboree Terbuka Wanita.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam sukan basikal lasak, Erni berkata, segala-galanya bermula pada 2012 selepas diajak suaminya yang juga meminati aktiviti itu.

"Dari situ, saya mula jatuh cinta terhadap sukan basikal lasak selain mendapat sokongan penuh suami dan keluarga," katanya.

"Pada peringkat awal, tidak ramai wanita menceburi sukan basikal lasak ini, namun kini, sukan ini semakin diminati kerana selain dapat beriadah dalam bentuk berkumpulan, sukan ini juga mampu memberi kepuasan diri serta mengeratkan silaturahim," katanya.

Sebagai persediaan, pasukan itu melakukan latihan kayuhan empat hari seminggu di sekitar Balik Pulau sejauh 40 kilometer untuk mengekalkan kecergasan dan meningkatkan stamina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:01 AM