MONICA (tengah) bersama pasukan 3G.
MONICA (tengah) bersama pasukan 3G.
Oleh Azma Razana Johari

Nibong Tebal: Juara kategori jamboree wanita Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Kuala Kangsar, Monica Ann, mahu mengekalkan kecemerlangan pada Siri 3, di Nibong Tebal, 25 Oktober ini.

Monica, 41, berkata, dia mula berjinak-jinak dalam sukan basikal lasak pada 2012 dengan menyertai pasukan Geng Gerek Gunung (3G) dan mendapat sokongan daripada suami serta anak-anaknya.

"Saya mula menyertai 3G selepas dipelawa jiran-jiran berhampiran dan pada awalnya hanya mengikuti sebagai satu riadah sekali gus mengekalkan kesihatan," katanya.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan dan tiga anak berumur 11 hingga 16 tahun, dia sentiasa memastikan masanya untuk membuat latihan sentiasa ada.

"Saya perlu bijak menguruskan masa bekerja, bersama keluarga dan membuat latihan kayuhan.

"Setiap pagi selepas menghantar anak ke sekolah, saya akan mengayuh selama dua jam dan diikuti satu jam pada sebelah petang," katanya.

Katanya, hanya anak keduanya saja yang berminat mengikutinya berbasikal, manakala suami serta dua lagi anaknya tidak meminati sukan basikal lasak ini.

Menurutnya, walaupun berhadapan dengan pencabar lebih muda dan berpengalaman di MTB, namun itu tidak mematahkan semangatnya.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di Nibong Tebal dan berhasrat mengulangi kejayaan menduduki tempat pertama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM