Jasin: Penyertaan pasukan Cyclomotion pada sirkit keempat Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 hujung bulan ini adalah untuk meneruskan kecemerlangan.

Mereka tetap fokus kepada pelumba junior Mohd Suhaimi Ghani (gambar) bagi mengekalkan rekod podium yang diduduki pada saingan di Nibong Tebal, Oktober lalu.

 Sandaran diletakkan ke atas pelumba muda itu selepas dia mempamerkan prestasi konsisten sepanjang kejohanan MTB anjuran Harian Metro selain mempunyai rekod cemerlang setiap kali beraksi di kejohanan besar.

 Selain Mohd Suhaimi, tumpuan turut diberikan kepada tiga lagi pelumba harapan mereka Khuzairi A Bakar, Noor Fadilah Saiedin dan Razali Ibrahim yang masing-masing bersaing dalam kategori XC Metro Junior, Wanita dan Master.

 Pengarah Cyclomotion Zahari Abd Ghani berkata, persiapan kini memasuki fasa akhir untuk mengekalkan prestasi pada tahap optimum sekali gus mencapai sasaran mengekalkan ranking empat pelumba itu.

“Pada penyertaan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) baru-baru ini, Mohd Suhaimi menamatkan saingan di tempat kelapan terbaik antara pelumba tempatan dan pencapaian ini dijadikan sandaran untuk pasukannya cemerlang pada sirkit keempat kejohanan ini nanti.

“Kini Mohd Suhaimi menjalanni latihan mengikut jadual ditetapkan bersama rakan sepasukan setiap hari, termasuk mengikuti aktiviti ketahanan fizikal di gimnasium serta mengatur pemakanannya demi memastikan dia mendapat kecergasan pada tahap optimum,” katanya.

 Zahari berkata, Cyclomotion menjangkakan kejohanan MTB di Asahan menawarkan banyak pendakian dan mereka bersedia dengan latihan fizikal lasak termasuk melakukan 'jungle tracking'.

 Katanya, Mohd Suhaimi dikategorikan sebagai pelumba 'all-rounder' yang memiliki kelebihan untuk berdepan pelbagai cabaran pada trek perlumbaan.

“Setiap kali kejohanan dia akan bergandingan dengan Khuzairi membentuk taktik perlumbaan mengikut strategi ditetapkan bagi membantu sesama mereka mendapat tempat terbaik,” ujarnya.

 Mohd Suhaimi kini sudah tiga tahun bersama Cyclomotion dan diberi latihan di bawah program Junior Team Ride 1Malaysia dalam usaha menggilap bakat  baru dan membentuk pelapis bagi pelumba MTB negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:05 AM