MAYAT seorang kanak-kanak dibawa keluar dari Masjid Badr.
MAYAT seorang kanak-kanak dibawa keluar dari Masjid Badr.
Agensi

Sanaa: Tiga serangan berani di dua masjid yang digunakan kumpulan militan Houthi Syiah di ibu negara Yaman ini semalam meragut 77 nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.

Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dalam Masjid Badr di selatan Sanaa dan seorang lagi menyasarkan jemaah yang melarikan diri di pintu masjid berkenaan.

Serangan ketiga pula disasarkan pada Maasjid Al-Hashahush di utara Sanaa.

Stesen televisyen Al-Massira milik kumpulan berkenaan melaporkan, hospital di sekitar Sanaa merayu orang ramai menderma darah.

Imam Masjid Badr yang juga ulama terkenal Houthi Al-Murtada bin Zayd al-Muhatwari adalah antara yang terbunuh.

Pegawai perubatan di tiga hospital utama di Sanaa berkata, mereka menerima 77 mayat.

Rakaman yang disiarkan oleh Al-Masirra menunjukkan mayat bergelimpangan di luar masjid sementara mereka yang terselamat membantu mangsa yang cedera menaiki kenderaan untuk dihantar ke hospital.

Setakat ini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Seorang lagi pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar sebuah masjid di Saada, kubu kuat Houthi di utara Yaman.

Bagaimanapun, hanya penyerang itu yang terbunuh. Kawalan ketat di masjid berkenaan menghalang pengebom memasuki masjid itu.

Serangan semalam adalah yang paling buruk sejak sebuah kereta yang sarat dengan bahan letupan diletupkan di akademi polis di Sanaa ketika rekrut berbaris untuk mendaftarkan diri, Januari lalu.

Ia menyebabkan 40 orang terbunuh.

Kebangkitan kuasa Houthi yang disokong Iran sejak September lalu memburukkan lagi perpecahan politik dan agama negara itu, menyebabkan Yaman semakin terpencil dari dunia luar.

Dalam keganasan kelmarin, tentera yang setia kepada bekas presiden menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Aden dan mengerah jet pejuang mengebom istana di bandar itu, tempat presiden sekarang menginap selepas melarikan diri dari Sanaa.

Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi bagaimanapun terselamat dalam serangan kumpulan yang setia kepada bekas presiden Abdullah Saleh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:35 AM