Sanaa: Kumpulan militan Negara Islam (IS) mengaku bertanggungjawab terhadap tiga serangan bom ketika solat Jumaat di dua masjid di sini, kelmarin yang mengorbankan sejumlah 142 jemaah.

Pengakuan itu yang pertama dibuat IS di Yaman dan serangan berkenaan dianggap terburuk di negara bergolak berkenaan.

Dalam satu kenyataan disiarkan di Internet, sebuah kumpulan IS di Yaman mendakwa serangan itu satu permulaan.

“Kumpulan Houthi Syiah harus tahu bahawa tentera IS tidak akan berehat sehingga mereka dihapuskan dan memutuskan tangan Iran yang cuba campur tangan di Yaman,” katanya.

Kumpulan militan Houthi Syiah kini menguasai Sanaa selepas menawan ibu kota itu daripada kerajaan September lalu.

Kumpulan itu didakwa mendapat sokongan daripada Iran cuba menguasai Yaman yang majoritinya penduduk berfahaman Sunni.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas kumpulan al-Qaeda mempunyai rangkaian di Yaman menafikan melakukan serangan berkenaan.

“Kami masih patuh dengan arahan supaya tidak menyasarkan masjid dan pasar kerana mahu melindungi nyawa orang Islam yang tidak bersalah,” ujar satu kenyataan al-Qaeda.

Dalam serangan kelmarin 142 maut selepas tiga penyerang berani mati meletupkan bom di dua buah masjid digunakan militan Houthi untuk solat Jumaat.

Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya dalam Masjid Badr di selatan Sanaa dan seorang lagi menyasarkan jemaah yang melarikan diri di pintu masjid berkenaan.

Serangan ketiga disasarkan pada Masjid Al-Hashahush di utara Sanaa. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:48 AM