Newcastle, England: Arsene Wenger (gambar) mengakui hanya kesilapan besar Chelsea boleh membantu Arsenal kembali dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana.

Pasukan Wenger akan cuba melupakan kekalahan dalam Liga Juara-Juara di tangan AS Monaco apabila mereka berkunjung ke Newcastle, malam ini.

Kemenangan di St James’ Park akan meneruskan rentetan lima kemenangan liga berturut-turut, kejayaan yang menyaksikan mereka hanya satu mata di belakang pasukan tangga kedua Manchester City dan tujuh mata berbanding pendahulu Chelsea, yang beraksi kurang satu perlawanan.

Wenger percaya pasukannya meraih momentum pada masa genting dalam kempen domestik, sekalipun beliau mengakui kekecewaan tersingkir pada pertandingan Eropah menerusi gol tempat lawan walaupun menang 2-0 di Monaco sedikit menjejaskan moral pemainnya.

“Ketika ini kami terlalu jauh dengan Chelsea, tapi kami berpeluang merapatkan jurang setiap minggu dan kerana itu kami memerlukan keputusan positif manakala keputusan negatif diraih Chelsea,” jelas Wenger.

“Apa yang boleh kami perkemaskan adalah keputusan positif kami. Saya percaya Chelsea masih selesa dan terjamin.

“Mereka juga bermain kurang satu perlawanan. Saya percaya mereka terlalu jauh ketika ini.

“Setiap tahun berbeza. Kami hanya fokus terhadap persembahan sendiri. Saya tidak memikirkan kelemahan lawan. Kami hanya fokus dengan kekuatan sendiri.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:16 AM