PEMAIN Newcastle, Sean Longstaff diliaht kecewa. FOTO REUTERS
PEMAIN Newcastle, Sean Longstaff diliaht kecewa. FOTO REUTERS
AFP

Dortmund: Pengurus Newcastle, Eddie Howe berkata beliau tidak akan menggunakan senarai kecederaan yang semakin meningkat sebagai alasan tewas 0-2 di Borussia Dortmund, awal pagi tadi.

Newcastle, yang tewas 0-1 dua minggu lalu kepada Dortmund di England, kali ini tewas lagi kepada pasukan tuan rumah yang dibelasah 0-4 oleh seteru setempat, Bayern Munich pada aksi Bundesliga, Ahad lalu.

Niclas Fuellkrug membuka tirai jaringan pada pertengahan separuh masa pertama, gol pertamanya dalam Liga Juara-Juara, sebelum Julian Brandt menambah gol kedua 11 minit sebelum tamat permainan.

Skuad kendalian Howe kehilangan beberapa tonggaknya akibat kecederaan dan penggantungan di mana beliau sendiri berkata sukar untuk membuat beberapa keputusan tertentu.

"Saya terpaksa membuat beberapa keputusan dan memilih pasukan yang terhad. Tetapi saya tidak akan duduk di sini dan membuat alasan, hanya itu yang kami ada.

"Kami tidak ketinggalan jauh malam ini dan saya rasa dengan pemain-pemain yang ada, ia sudah cukup bagus," kata Howe.

Newcastle, yang membelasah Paris Saint-Germain 4-1 di laman sendiri pada aksi awal kumpulan, kini berdepan laluan sukar untuk ke peringkat kalah mati.

Mereka akan kembali berdepan PSG, kali ini di Paris iaitu tiga hari selepas melayan kunjungan Chelsea dalam aksi liga, manakala Milan akan bertandang ke St James' Park, tiga hari selepas The Magpies bertemu Tottenham di London.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 November 2023 @ 8:30 AM