Newcastle, United Kingdom: Pengurus Arsenal Arsene Wenger mengaku beliau masih belum pasti sama ada mampu atau tidak untuk membawa masuk pemain baru sebelum tempoh perpindahan pemain ditutup esok.

Ketika tarikh akhir semakin hampir, Wenger dilihat tertekan untuk mengukuhkan skuadnya dalam usaha menambah gelaran Liga Perdana buat kali ke-14, 11 tahun selepas kali terakhir berbuat demikian.

Wenger masih lagi berusaha dan posisi serangan adalah bahagian yang mahu diperkuatkan tambahan pula mereka baru menjaringkan tiga gol sepanjang enam jam aksi Liga Perdana musim ini. Kemenangan ke atas Newcastle malam kelmarin pula adalah hasil gol sendiri Fabricio Coloccini.

“Kami masih terbuka dan kami sedang mencari,” kata Wenger yang sudah membawa masuk penjaga gol Petr Cech dari Chelsea.

Wenger terkenal dengan sikapnya yang suka membuat pembelian pada saat akhir dan beliau menambah: “Jika kami menemui pemain yang luar biasa hebat, kami akan melakukannya, tetapi pada masa ini, saya tidak tahu lagi.”

Wenger akan kembali mendapat khidmat pemain yang sebelum ini cedera dengan Jack Wilshere, Mesut Ozil, Tomas Rosicky dan Per Mertesacker semuanya tidak bermain di St James Park.

Selepas mencatat kemenangan kelapan berturut-turut ke atas Newcastle, Wenger berkata: “Ia adalah kemenangan yang penting. Kami akan bertemu mereka sekali lagi di tempat sendiri nanti. Justeru, adalah penting untuk tidak tercicir mata di tempat lawan, sekali gus anda tidak akan terlalu jauh dengan pendahulu.

“Kami tercicir mata di tempat sendiri dan ia memberikan tekanan, tetapi kami memperoleh enam mata di tempat lawan dan ia sesuatu yang menyeronokkan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:50 AM