Singapura: Perdana menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew (gambar) yang kini bergantung kepada alat bantuan hayat, dilaporkan semakin kritikal semalam.

Negarawan berusia 91 tahun itu dikenang sebagai tokoh yang mengubah Singapura menjadi satu daripada ekonomi terkaya di Asia.

Dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Besar Singapura sejak 5 Februari lalu kerana masalah pneumonia yang kronik.

Kenyataan dikeluarkan pejabat anaknya, Lee Hsien Loong menyatakan, Kuan Yew kekal dalam keadaan kritikal dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Hsien Loong adalah Perdana Menteri Singapura ketika ini.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan kesihatan Kuan Yew semakin memburuk ekoran berlaku jangkitan dan keadaannya dipantau dari dekat oleh doktor.

“Beliau bernafas menggunakan alat bantuan hayat,” kata kenyataan itu.

Kuan Yew berkhidmat sebagai perdana menteri sejak 1959 apabila Singapura berpisah dari Malaysia sebelum berundur pada 1990.

Jawatan itu diisi timbalan Kuan Yew, Goh Chok Tong sebelum diserahkan pula kepada Hsien Loong pada 2004. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:17 AM