Singapura: Adik kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong semalam menuduh pemimpin itu berbohong di Parlimen mengenai wasiat bapa mereka yang juga pengasas negara itu, Lee Kuan Yew.

Lee Hsien Yang menuduh Hsien Loong, 65, menipu ketika berucap di Parlimen kelmarin bahawa mendiang bapa mereka terbuka untuk menimbang semula rancangan merobohkan rumah keluarga mereka.

Tuduhan itu adalah perkembangan terbaru dalam perbalahan keluarga berkenaan.

Rumah berusia seratus tahun itu menjadi drama politik sejak kematian Kuan Yew pada 2015 apabila perdana menteri dan adik-beradiknya saling berbalas kenyataan di media sosial.

Kuan Yew mahu rumah itu dirobohkan selepas kematiannya bagi mengelak sebarang pemujaan kepada tokoh tertentu.

Bagaimanapun, adik-beradik Hsien Loong menuduh pemimpin itu cuba menghalang rumah itu daripada dirobohkan.

Hsien Loong dituduh mahu mengambil kesempatan terhadap legasi bapa mereka bagi kepentingan agenda politiknya, termasuk menjadikan anak lelakinya sebagai penggantinya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 9:49 AM