Singapura: Lee Kuan Yew, pengasas perdana menteri Singapura yang meninggal dunia, hari ini, seorang berwawasan besar dan meninggalkan legasi Singapura moden dan makmur.

Kuan Yew meninggal dunia, 3.18 pagi, pada usia 91, di Hospital Besar Singapura selepas dimasukkan ke wad kerana radang paru-paru teruk, sejak 5 Februari lalu.

Mendiang dianggap sebagai seorang daripada pemimpin terkemuka dan paling berpengaruh bukan hanya di Asia tetapi juga di peringkat global.

Sebagai perdana menteri pertama Singapura, Kuan Yew, disifatkan sebagai pemimpin yang mengamalkan cara kepimpinan autoritarian, dikurniakan dengan bakat dan idea hebat, nilai dan kepimpinan yang berjaya mengubah pulau kecil di hujung selatan Malaysia ini menjadi seperti yang dilihat sekarang - bandar raya bertaraf dunia.

Selepas memastikan pemisahan negara ini daripada jiran paling dekat Malaysia, pada 1965, beliau menggunakan keazaman, semangat politik dan tadbir urus baik untuk membentuk Singapura pusat kewangan dan ekonomi global yang cemerlang.

Dilahirkan pada 16 September 1923, di Singapura, Kuan Yew dikenali pengasas Singapura moden, dengan mengetuai kerajaan lebih daripada tiga dekad, menjadikan beliau antara perdana menteri paling lama berkhidmat di dunia.

Sebagai pengasas bersama dan setiausaha agung pertama People's Action Party (PAP), mendiang memimpin parti itu mencapai lapan kemenangan dalam pilihan raya antara tahun 1959 dan 1990.

Kuan Yew meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 1990 dan dilantik sebagai Menteri Kanan oleh Perdana Menteri kedua Singapura, Goh Chok Tong.

Pada Ogos 2004, Kuan Yew memegang jawatan sebagai penasihat atau Menteri Mentor dalam kerajaan yang dipimpin anaknya, Perdana Menteri sekarang Lee Hsien Loong.

Mendiang lulusan Undang-undang Ijazah Kelas Pertama Kepujian daripada Universiti Cambridge pada 1949.

Kuan Yew mengumumkan persaraannya daripada kabinet pada 14 Mei 2011, selepas pilihan raya umum tahun itu tetapi kekal sebagai anggota Parlimen. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 7:51 AM