Agensi

Singapura: Bekas Perdana Menteri Singapura dilapor bertambah tenat akibat jangkitan selepas hampir enam minggu dimasukkan ke hospital.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat anaknya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, Kuan Yew kini bergantung kepada antibiotik dan keadaannya diawasi ketat oleh doktor.

Bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu berada di unit rawatan rapi Hospital Besar Singapura sejak 5 Februari lalu.

Kerajaan republik berkenaan pada 21 Februari lalu berkata, Kuan Yew berada dalam keadaan stabil tetapi perlu bernafas dengan bantuan alat pernafasan mekanikal, satu bentuk bantuan hayat.

Dia menjadi perdana menteri Singapura sejak 1959 hingga melepaskan jawatan itu pada 1990 kepada timbalannya Goh Chok Tong yang kemudiannya menyerahkan kepada Hsien Loong pada 2004.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diasaskan bersama oleh Kuan Yew menang setiap pilihah raya sejak 1959 dan kini menguasai 80 daripada 87 kerusi Parlimen.

Dia masih menjadi anggota Parlimen, mewakili daerah Tajung Pagar tetapi melepaskan semua peranan selaku penasihat kerajaan pada 2011.

Kuan Yew juga pernah memegang jawatan khas dan kemudian menjadi ‘mentor menteri’ selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Meskipun jarang dilihat di khalayak ramai sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Kuan Yew masih lagi disayangi oleh rakyat Singapura.

Ramai yang menulis dalam media sosial sejak beberapa minggu lalu untuk memberi kata-kata semangat selepas keadaan kesihatannya tersebar.

Pada 25 Februari lalu, kerajaan Singapura terpaksa mengeluarkan kenyataan pada lewat malam untuk menafikan Kuan Yew sudah meninggal dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:21 AM