SEORANG wanita meletakkan jambangan bunga di luar Hospital Besar Singapura semalam sebagai tanda sokongan kepada bekas perdana menteri negara itu yang kini sakit tenat.
SEORANG wanita meletakkan jambangan bunga di luar Hospital Besar Singapura semalam sebagai tanda sokongan kepada bekas perdana menteri negara itu yang kini sakit tenat.
AFP

Singapura: Jambangan bunga dan kad ucapan yang ditujukan kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew semakin bertambah di luar Hospital Besar di sini, selepas keadaan beliau dilaporkan semakin tenat semalam.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat anaknya, Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam, keadaan kesihatan Kuan Yew semakin merosot.

“Keadaan kesihatan Kuan Yew kini semakin tenat,” kata kenyataan yang dimuat naik di facebook Hsien Loong, semalam.

Tidak lama selepas kenyataan itu dikeluarkan beratus-ratus pengguna facebook menghantar mesej bagi memberikan sokongan kepada pemimpin itu.

Kerajaan Singapura sebelum ini pernah mengeluarkan satu kenyataan beberapa hari lalu bagi memaklumkan keadaan Kuan Yew yang tenat akibat masalah pneumonia yang kronik.

Di luar bangunan Hospital Besar Singapura, lokasi Kuan Yew dirawat, berpuluh-puluh penduduk meletakkan jambangan bunga dan kad ucapan tanda sokongan kepada pemimpin itu.

“Saya tidak sanggup duduk di rumah hanya mendengar berita tanpa berbuat apa-apa,” kata seorang wanita berusia 88 tahun, Phua Siew Lian.

Wanita itu bersama beberapa lagi pelawat meletakkan jambangan bunga di luar hospital berkenaan sambil dikawal ketat anggota polis.

Bekas pemimpin berusia 91 tahun itu berada di unit rawatan rapi di hospital berkenaan sejak 5 Februari lalu dan beliau kini bergantung kepada alat bantuan hayat.

Beliau menjadi perdana menteri Singapura sejak 1959 hingga melepaskan jawatan itu pada 1990 kepada timbalannya Goh Chok Tong yang kemudiannya menyerahkan kepada Hsien Loong pada 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:54 AM