Oleh Faizul Azlan Razak

Kuala Terengganu: Desas-desus mengatakan pemain pertahanan kiri kebangsaan Muhammad Zubir Azmi (gambar) bakal berhijrah ke pasukan lain, terjawab apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan pemain itu kekal bersama skuad Penyu bagi musim 2015.

Keputusan itu dibuat pemain kelahiran Kampung Telaga Papan, Setiu, sekali gus menamatkan spekulasi akan berhijrah menyertai Johor Darul Ta'zim (Johor DT) dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Agung (PBSNT) Arpin Draman berkata, pihaknya mengesahkan hampir keseluruhan pemain utama musim ini termasuk Zubir kekal bersama Terengganu.

Bagaimanapun, menurutnya hanya tiga pemain utama masih belum memberi kata putus iaitu Nor Farhan Muhammad, Zairo Anuar Zailani dan Abdul Manaf Mamat.

"Hampir semua pemain utama musim ini kekal kecuali tiga pemain ini yang meminta sedikit lagi masa untuk membuat keputusan.

"Nor Farhan, Zairo dan Abdul Manaf akan memberikan keputusan masing-masing dalam tempoh terdekat. Kami difahamkan Nor Farhan dan Zairo ada menerima tawaran daripada pasukan lain," katanya.

Arpin berkata, pihaknya membuat tawaran baru dalam perjumpaan pemain bersama Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.

Menurutnya, semua pemain lain kekal kecuali dua pemain tempatan, Mazlizam Mohamad dan Faiz Subri serta awang import, Mario Karlovic, Javier Estupinan dan Moustapha Dabo yang kontrak mereka tidak dilanjutkan.

"Kita hanya mengekalkan seorang pemain import pertahanan, Vincent Bikana manakala pemain tengah, Mohd Nor Hakim Hassan pula dipinjamkan kepada T-Team bagi musim depan," katanya.

Sementara itu, Zubir berkata, dia memilih kekal bersama Terengganu kerana masih sayangkan pasukan negeri kelahirannya.

Menurutnya, jika tidak kerana skuad Penyu yang menaikkan namanya dalam karier bola sepak, dia sudah pasti menerima tawaran lumayan yang ditawarkan Johor DT.

"Saya sudah membuat keputusan untuk terus kekal bersama Terengganu musim depan. Saya harap tidak timbul lagi spekulasi selepas ini," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:03 AM