Oleh Faizul Azlan Razak


Kuala Terengganu: Spekulasi perpindahan penyerang kebangsaan Abdul Manaf Mamat ke pasukan baru akhirnya terjawab apabila Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan pemain itu kekal bersama skuad Penyu musim depan.

Timbalan Presiden PBSNT Marzuki Sulong berkata, keputusan itu pastinya akan menggembirakan penyokong dan pasukan Terengganu yang masih memerlukan sentuhan penyerang berusia 27 tahun itu.

Menurutnya, pihaknya memang mahu menggunakan khidmat Abdul Manaf dan dia juga masih memiliki kontrak bersama skuad Penyu hingga 2015.

“Memang sebelum ini ada desas-desus mengatakan Abdul Manaf akan berhijrah, namun ia tidak menjadi kenyataan. Justeru, kami sahkan Abdul Manaf kekal bersama Terengganu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sebelum ini Abdul Manaf berada dalam dilema untuk membuat keputusan mengenai pasukan mana yang mahu diwakili dalam saingan Liga Super musim depan.

Penyerang kelahiran Kuala Terengganu itu dikaitkan akan menyertai juara Liga Perdana musim ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) musim depan.

Bagaimanapun, pasukan jolokan Sang Saka Biru itu perlu membayar pampasan baki kontrak setahun kepada PBSNT sekiranya mahu mendapatkan khidmat Abdul Manaf.

Dalam pada itu, Marzuki berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai pemain dan pegawai pasukan Terengganu musim 2015 selepas mesyuarat ahli majlis PBSNT di Wisma Seri Amar, hari ini.

Menurutnya, biarpun perbincangan dengan pemain tempatan dan import baru masih berjalan, senarai pemain yang akan membawa cabaran pasukan Terengganu musim depan hampir lengkap sepenuhnya.

“Kalau diikutkan, hampir keseluruhan pemain utama musim ini masih bersama Terengganu kecuali Nor Farhan Muhammad yang berhijrah ke Kelantan.

“Terengganu juga akan diperkuatkan tiga awang import baru musim depan selepas membuat keputusan hanya mengekalkan pemain pertahanan Vincent Bikana,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:18 AM