Oleh Ramlah Zainal


Nama pelakon dan pelawak popular Jihan Muse tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang hiburan tanah air.

Selepas mengungguli trofi Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Jihan, 32, nampaknya tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon mahupun mengacara daripada pelbagai pihak.

Bermula dari program Rezeki Memikat Suami (Astro Ria), dia diberi kepercayaan mengendalikan program Akademi Fantasia 2014 dan Gegar Vaganza.

Terbaru, bintang yang dicungkil dari program Raja Lawak musim ketiga ini bakal muncul dalam program realiti 13 episod masakan selebriti, Aku Yang Masak Kau Yang Panas juga untuk saluran Astro Ria dan program Travelogue Jejak Jepun juga terbitan Astro.

Sudah namanya selebriti terkenal, Jihan yang turut tercalon dalam kategori sama pada ABPBH 2014 nampaknya tidak terlepas dihimpit gosip mahupun kontroversi yang juga lumrah dalam dunia hiburan.

Terbaru, Jihan didakwa sudah mula ‘demand’ dari segi bayaran membabitkan projek lakonan mahupun pengacaraan, sejak kebelakangan ini.

Lebih teruk lagi, Jihan juga dikatakan sudah mula berlagak diva dan tidak mahu berlakon di tengah panas sehingga menyusahkan pengarah dan kru produksi sebuah drama baru-baru ini.

Enggan cepat melatah sebaliknya pemilik nama sebenar, Nuur Jihan Musa ini tetap tenang menepis segala gosip yang dikaitkan dengannya sejak kebelakangan ini.

“Sudah bermacam ujian dilalui dalam karier seni sebelum berada pada tahap sekarang. Semuanya hasil kerja keras selama ini.

“Justeru, tidak timbul soal ‘demand’ kerana bayaran yang ditetapkan pengurusan juga setimpal dengan hasil kerja dilakukan. Ia juga munasabah dan tidak melampau pun,” katanya.

Mengulas dakwaan dirinya berlagak diva dan tidak boleh berlakon di bawah terik matahari, Jihan mengganggap tuduhan itu tidak berasas sama sekali.

“Siapa kata saya tak boleh berlakon di bawah panas terik matahari? Sebagai pelakon, apa saja watak diserahkan perlu dilakonkan sebaik mungkin. Terbaru, saya baru selesai penggambaran drama Orang Gajiku Pontianak. Malah, saya bawa dua watak sekali gus dalam cerita ini.

“Bukan setakat penggambaran di tengah panas dan di bawah longkang, saya juga berada di lokasi penggambaran dari jam 8 pagi hingga penggambaran berakhir pada 8 pagi keesokannya,” katanya.

Tertarik dengan Rock Bro!

Sebagai peminat filem Rock Oo, Jihan menganggap tawaran belakon dalam filem arahan Mamat Khalid iaitu Rock Bro! bagaikan pucuk dicita ulam mendatang buatnya.

Apatah lagi, filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd dan Enjit Semut Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Khir Rahman, Hasnul Rahmat, Pekin Ibrahim, Sofi Jikan, Azmi Black, Amirul Affendi dan Jep Sepahtu.

Rock Bro! adalah siri ketiga dari filem Rock! di mana kali ini kita mengikuti kisah mereka dari zaman kumpulan rock Rimba Bara yang sudah menjadi popular.

Jihan pula diberi kepercayaan membawa watak Jojie yang juga kakak kepada Ratu Rock Ella dalam filem ini. Manakala, watak Ella pula dilakonkan penyanyi muda Kaka Azraff.

“Secara peribadi, saya memang meminati karya abang Mamat dan sangat teruja untuk berlakon dalam filem ini. Saya juga seronok kerana dapat bergandingan dengan Kaka yang juga anak saudara Jojie sendiri.

“Sebagai persediaan, saya akan bertemu dengan Jojie sendiri untuk mendapat gambaran sebenar mengenai dirinya. Apapun, saya akan berusaha memberikan yang terbaik pada watak Jojie seperti dikehendaki wataknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 11:47 AM