LAZARIDIS menunjukkan peranti terbaru HP EliteBook Folio 1020 G1 Edisi Khas dengan berat hanya 1kg.
LAZARIDIS menunjukkan peranti terbaru HP EliteBook Folio 1020 G1 Edisi Khas dengan berat hanya 1kg.

HP menampilkan pelbagai produk baru yang lebih inovatif untuk mewujudkan persekitaran pekerjaan lebih moden dan kondusif lebih-lebih lagi dengan iklim pekerjaan mudah alih yang banyak diamalkan sekarang.

Lapan peranti perkomputeran mudah alih termasuk komputer notebook, peranti dua dalam satu, tablet serta empat pencetak laser diperkenalkan yang kesemuanya memiliki fungsi dan kesesuaian masing-masing bagi memenuhi kehendak pasaran.

Produk-produk berkenaan ialah tablet HP Pro Slate 8 dan HP Pro Slate 12; peranti dua dalam satu HP Elite x2 1011 G1; HP Pro Tablet 10EE (Windows) dan HP ) Pro Tablet 10EE (Android); HP Pro Tablet 408 G1; HP ElitePad 1000 G2 Healthcare Tablet; HP ElitePad 1000 G2 Rugged Tablet.

Sementara empat pencetak laser pula ialah HP Color Laser Jet Pro M525, HP Color Laser Jet Pro MFP M277, HP Color Laser Jet Enterprise M552 dan M553 yang kesemuanya dilengkapi teknologi semburan dakwat baru, JetIntelligence.

JetIntelligence memiliki banyak kelebihan termasuk penjimatan menyeluruh dan kos efektif selain menghasilkan cetakan bermutu tinggi.

Naib Presiden Kanan, Percetakan dan Sistem Personal merangkap Pengarah Urusan HP Asia Pasifik & Jepun, Nick Lazaridis berkata, peranti mudah alih merubah kehidupan dan bagaimana kita bekerja.

“Mobiliti bukan saja merubah di mana seseorang itu bekerja, tetapi juga bagaimana mereka melaksanakan pekerjaan.

“Pendekatan sekarang hanyalah peranti yang kononnya bersedia terhadap persekitaran enterprise dan memacu pengguna ke arah satu sistem atau platform tunggal,” katanya.

Namun, HP mengambil pendekatan berbeza dengan menambah pelbagai ciri utama termasuk keselamatan dan peranti khusus untuk sesuatu penggunaan.

“Dengan menyokong beberapa platform sistem operasi, HP mampu menyediakan pilihan kepada pelanggan ke atas ekosistem aplikasi dan pengalaman pengguna. Dengan kerjasama rakan niaga, HP berjaya mencipta rumusan lengkap mobiliti kepada semua jenis pekerjaan,” katanya kepada Bisnes Metro pada Majlis Pelancaran Media HP Printing & Personal Systems di sini, semalam.

Nick berkata, semua produk yang diperkenalkan sudah sedia menjengah pasaran, bagaimanapun ia bergantung kepada rakan niaga di negara masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:47 AM