DUA model terbaru Lenovo YOGA 3 Pro dan YOGA Tablet 2 Pro.
DUA model terbaru Lenovo YOGA 3 Pro dan YOGA Tablet 2 Pro.

Kuala Lumpur: Lenovo Malaysia, memperkenalkan model terbaru komputer peribadi dan tabletnya, Yoga 3 Pro dan Yoga Tablet 2 Pro yang didatangkan dengan inovasi teknologi terkini.

Pengurus Besar Negara Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata, reka bentuk Yoga adalah unik dan menjadi pelengkap kepada peranti pintar keluaran Lenovo.

Katanya, bagi pengguna yang masih mencari-cari kombinasi laptop dan tablet, model terbaru dari Lenovo ini adalah jawapan yang tepat terutama menerusi pelbagai fungsi yang ditampilkan.

“Lenovo Yoga 2 Pro ini hadir dengan skrin bersaiz 13-inci, dengan resolusi 2560×1400 piksel. Tablet ini turut dijana menggunakan Android, dilengkapi cip Intel Atom Z3745, memori sebanyak 2GB RAM dan bateri berkapasiti 9600mAh.

“Manakala, Lenovo Yoga 3 Pro pula adalah teknologi terbaru yang masih belum banyak digunakan pada produk laptop lain di pasaran,” katanya di majlis pelancaran Lenovo Yoga 3 Pro dan Yoga Tablet 2 Pro, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Segmen Konsumernya, Jimmy Chin dan Pengurus Negara Intel Malaysia dan Singapura, Summer Lemon.

Khoo berkata, salah satu teknologi canggih yang ada pada laptop ini adalah teknologi layarnya yang boleh dipusing sehingga 360 darjah dan disokong dengan teknologi skrin sentuh pelbagai yang juga boleh digunakan sebagai tablet.

Menurutnya, Lenovo Yoga 2 Pro hadir dengan sokongan LTE, selain kamera belakang 8-megapiksel untuk rakaman gambar.

“Memandangkan Lenovo memfokuskan kepada sokongan multimedia pada tablet ini, maka ia turut dilengkapi dengan sokongan subwoofer terbina untuk penawaran audio menarik, selain turut menawarkan projektor terbina untuk membolehkan pengguna membuat tayangan video atau gambar terus ke skrin besar menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata, skrin Lenovo Yoga 3 Pro yang berukuran 13.3 inci dapat menghasilkan gambaran yang lebih makisimum iaitu sebesar 3200x1800 pixel.

Katanya, kedua-dua model terbabit sudah boleh didapati di pasaran Malaysia pada harga bermula RM4,999 bagi Lenovo Yoga 3 Pro dan RM1,999 untuk Lenovo Yoga Tablet 2 Pro (juga terdapat dalam saiz 8 dan 10 inci RM1,099 dan RM1,599 masing-masing).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:08 AM