Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Institut Sukan Negara (ISN) berharap Datuk Lee Chong Wei bersabar dengan pengumuman Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengenai penetapan tarikh perbicaraan isu doping beliau.

Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berharap pemain badminton itu bersikap tenang kerana tarikh itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Tanggungjawab ISN adalah memberi kerjasama dan menjaga hak Chong Wei dalam menyediakan apa diperlukannya.

“ISN sudah berbincang dengan peguam banyak kali, tapi bukan kami yang menetapkan tarikh perbicaraan.

“Kami percaya pihak peguam pasti sudah mengambil langkah secukupnya. Kami kena pastikan tidak ada yang tertinggal dan terlepas pandang,” katanya semalam.

Ramlan berkata, kesabaran amat penting kerana lambat laun BWF akan membuat pengumuman mengenainya.

Ramlan berkata, segala-galanya sekarang ibarat satu permainan menunggu masa atau ‘waiting game’.

Chong Wei sebelum ini menyatakan tidak akan teragak-agak menggantung raket selepas Panel Pendengaran Doping ditangguh lagi hingga bulan depan.

Chong Wei mendakwa Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan ISN bertanggungjawab membuat keputusan tarikh kes doping.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:33 AM