KIM Swee (kanan) memberi arahan kepada pemain bawah 23 tahun di Wisma FAM.
KIM Swee (kanan) memberi arahan kepada pemain bawah 23 tahun di Wisma FAM.
Oleh Mohd Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Muda (Bawah-23) negara Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan komitmen dan semangat pemain terutamanya Muhammad Firdaus Muhammad dari Kedah biarpun baru pertama kali menyertai latihan skuad kebangsaan.

Menurut Kim Swee, persaingan sihat dalam kalangan 17 pemain dalam merebut tempat untuk dipanggil semula pada latihan fasa kedua yang akan bermula dari 15 hingga 31 Mac ini, semakin menarik dan ia dilihat perkembangan positif menjelang saingan Sukan SEA Singapura, pada Jun nanti.

“Walaupun baru hari kedua latihan, secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan tahap kecergasan dan permainan pemain.

“Walaupun rata-rata daripada mereka pernah dipanggil sebelum ini, aksi Firdaus cukup mencuri tumpuan saya, biarpun dia baru pertama kali menyertai latihan di sini (Wisma FAM, Kelana Jaya).

“Masih ada lagi sehari esok (hari ini) untuk saya menilai keupayaan pemain sebelum memutuskan mereka yang akan dipanggil untuk latihan fasa kedua nanti,” katanya semalam.

Menurut Kim Swee, dalam fasa pertama ini fokus utamanya adalah untuk menilai barisan pemain bawah 23 tahun dari pasukan negeri dan kelab yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk menjadi alternatif kepada skuad 20 pemain terakhir andai berlakunya sebarang kecederaan.

“Persaingan merebut tempat dalam kalangan pemain ketika ini cukup baik sekali. Ia penting kepada pasukan jika berlaku kecederaan kepada mana-mana pemain utama.

“Jadi kali ini, saya sudah bersiap sedia lebih awal jika ada mana-mana pemain yang tercedera dan kelompok pemain ini diharapkan mampu menampung ketiadaan mereka,” katanya.

Antara pemain utama yang tidak dipanggil pada fasa pertama ini seperti Nazmi Faiz Mansor, D Saarvindran, Farhan Abu Bakar, Shahrul Saad, Fandi Othman, Syahrul Azwari dan Ferris Danial dijangka menyertai latihan fasa kedua nanti.

Jelas jurulatih berasal dari Melaka itu, skuad B-23 negara bakal berkunjung ke Bangkok, Thailand pada 21 Mac untuk tiga aksi persahabatan termasuk pertemuan aksi bertemu barisan B-22 negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:04 AM