myMetro

Sepang: Pemain sayap Nur Shamie Iszuan Amin (gambar) mengakui pertukaran mengejut jurulatih skuad Bawah 22 tahun (B-22) memberi kesan kepada pasukan negara, apatah lagi tempoh saingan Kelayakan Piala AFC B-23 dan Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur semakin hampir.

Bagaimanapun pemain Sarawak itu tetap percaya semua pemain akan memberikan komitmen penuh kepada jurulatih baru Datuk Ong Kim Swee yang mengambil alih tugas Frank Bernhardt, dipecat Sabtu lalu.

“Untuk pemain mungkin ada sedikit masalah untuk mengadaptasi sistem latihan dan permainan. Kita tak tahu lagi perancangan jurulatih dan presiden baru. Kalau ikut jurulatih Frank Bernhardt, beliau sudah buat yang terbaik untuk kami, dengan jurulatih Datuk Ong Kim Swee, kita masih tak tahu pemain yang akan dipanggil.

“Saya tidak pernah berlatih dengan Datuk Ong tapi pasti bersemangat jika dipanggil,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di tanah air dari Dubai semalam.

Berita pemecatan Bernhardt diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas selesai Kongres Ke-53 Sabtu lalu.

Ketika pengumuman itu dibuat, Bernhardt bersama anak buahnya sedang mengharungi saingan Piala Dubai 2017.

“Pihak media sudah mengeluarkan laporan awal mengenai keputusan itu. Pada latihan sebelah petang, jurulatih Frank Bernhardt memaklumkan beliau sudah tidak bersama pasukan selepas ini dan kami hanya diam ketika itu,” kata Nur Shamie.

Sementara itu, bagi penyerang Muhd Jafri Muhammad Firdaus Chew yang sebelum ini pernah bersama di bawah bimbingan Kim Swee, semua pemain bersedia merebut tempat dalam pasukan.

“Semua pemain sudah tahu Bernhardt tak akan lama dengan pasukan, jadi kami sudah sedia dengan pelantikan jurulatih baru. Kami akan buat yang terbaik tanpa mengira siapa jurulatih itu.

“Pada saya jurulatih Bernhardt OK, taktikal beliau juga boleh tahan. Cuma mungkin rezeki tak panjang,” katanya.

Skuad B-22 negara dalam rangka persiapan untuk mengharungi Kelayakan Piala AFC B-23 bermula Julai ini sebelum menghadapi Sukan SEA Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 8:27 AM