EUGENE (tengah).
EUGENE (tengah).
myMetro

Seremban: Pemain muda Negeri Sembilan, Sean Eugene Selvaraj bertekad membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih skuad Bawah 22 (B-22), Datuk Ong Kim Swee, apabila namanya tersenarai dalam skuad itu.

Pemain dari Port Dickson berusia 21 tahun itu antara tiga pemain yang diserapkan dalam skuad termasuk rakannya L Kalaiharasan dan Irfan Zakaria dari Kuala Lumpur.

Mereka menggantikan tiga pemain asal yang diketepikan pengendali berkenaan susulan masalah kecederaan bagi menghadapi Kelayakan B-23 Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Julai dan Sukan SEA 2017 (KL2017), Ogos depan.

Eugene berkata, dia tidak menyangka namanya dipanggil Kim Swee, walaupun sememangnya hasrat menyarung jersi negara sentiasa menjadi impiannya.

“Saya akui rasa teruja apabila Kim Swee memanggil saya menyertai pasukan. Ketika itu saya dalam cuti seminggu selepas mengikuti latihan pemilihan dan rasa terkejut apabila dipanggil menyertai pasukan.

“Memang menjadi impian saya sejak menyertai pasukan Negeri Sembilan dalam skuad Piala Presiden selain saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula tiga tahun lalu,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2017 @ 11:14 AM