KIM Swee intai pemain  liga tempatan.
KIM Swee intai pemain liga tempatan.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Kelana Jaya: Pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara Datuk Ong Kim Swee kini memberikan fokus penuh kepada tugasannya membentuk skuad Sukan SEA yang mantap selepas spekulasi mengenai kedudukannya berakhir.

Kim Swee diberi mandat penuh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing skuad Sukan SEA negara di Singapura pada Jun dengan sasaran meraih emas sekali gus spekulasi mengenai tugasnya mungkin diambil alih pengendali Bawah 22 Tahun (B-22) Mohd Razip Ismail beberapa hari lalu tidak benar sama sekali.

Beliau dan barisan kejurulatihan kini sibuk ‘mengintai’ pemain berusia B-23 yang beraksi di Liga Super dan Perdana untuk dipertimbangkan dalam senarai awal latihan pusat singkat pada 1 hingga 4 Mac.

“Saya bersama dua pembantu memantau pemain dalam sejumlah perlawanan sejak minggu lalu. Kami sudah kenal pasti sejumlah pemain yang akan dikumpul untuk fasa pertama,” katanya ketika ditemui di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya semalam.

Menurut Kim Swee, 10 hingga 15 pemain akan dipanggil ke latihan pusat sebelum dinilai dan dipilih untuk bersama sejumlah pemain berusia 23 tahun seperti Mohd Fandi Othman, Mohamad Amer Saidin, Ferris Danial Mat Nasir dan D Saarvindran bagi aksi persahabatan di Thailand dari 21 hingga 31 Mac dengan latihan pusat bermula 15 Mac.

“Andai tidak mencukupi, saya mungkin memanggil pemain diketepikan daripada skuad B- 22 dan Harimau C. Namun keutamaan ialah kepada pengendali B-22 (Razip) untuk memilih pemain.

“Saya mahukan pemain yang benar-benar mahu menyarung jersi negara. Saya tidak mahu pemain yang hadir melaporkan diri hanya kerana dipanggil,” katanya.

Kim Swee terdahulu hadir menyaksikan perlawanan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) menentang SPA FC dengan penyerang berusia 21 tahun, Shafiq Shahrudin muncul penjaring hatrik pertama Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:24 AM