ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang daripada tiga mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan seorang daripada tiga mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba
Oleh Junaidi Ladjana

Keningau: Tiga lelaki maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terjunam ke sungai sedalam dua belas meter di Jalan Tenom-Keningau berhampiran Kampung Sinagang, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, dua mangsa maut dikenal pasti sebagai Peter Tan Che Vui @ Peter Chin, 44, dan Dolsin Merindang, 42, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.42 malam dan tiba di lokasi kejadian 22 minit kemudian.

"Sebaik menerima panggilan kecemasan, sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiga mangsa tersepit di dalam kenderaan yang terjunam ke dalan sungai sedalam 12 meter sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2015 @ 9:43 AM