PASUKAN Scots College (jersi hitam) juara tahun lalu.
PASUKAN Scots College (jersi hitam) juara tahun lalu.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Kangsar: Kejohanan Ragbi Premier 7 Sepasukan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bakal menyaksikan cabaran sengit 21 pasukan tempatan dan tiga pasukan luar.

Kehadiran juara bertahan dari New Zealand, Scots College pasti menarik perhatian dengan sasaran utama pastinya untuk mempertahankan mahkota kejuaraan.

Selain juara bertahan, kelibat dua pasukan luar negara, Kolej Vajiravudh Bangkok dan Sekolah Sukan Hong Kong pasti memberikan cabaran sengit kepada 21 pasukan tempatan pada penganjuran yang memasuki edisi kelima.

Pengarah Kejohanan Amirul Hazarin menjangkakan cabaran sengit bakal diterima juara bertahan kerana pasukan tempatan tidak akan menyerah kalah dengan mudah.

“Penonton yang hadir dijanjikan aksi menarik dan berbeza berbanding edisi sebelum ini dan akan dapat menyaksikan peningkatan mutu permainan pasukan yang mengambil bahagian.

“Apa yang boleh saya katakan pasukan tempatan mampu memberikan saingan kerana saya dimaklumkan mereka sudah melakukan persediaan dan perancangan rapi,” katanya.

Amirul turut menjangkakan kejohanan itu mampu menarik ramai peminat ragbi tempatan yang tidak mahu melepaskan aksi juara bertahan.

Scots College dijangka tidak akan menemui jalan mudah selepas membelasah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail 43-0 pada aksi separuh akhir sebelum menang ke atas Sekolah Tuanku Abdul Rahman 36-14 untuk muncul juara tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:03 AM