AMRUL (kanan) percaya MCKK sukar ditumpaskan.
AMRUL (kanan) percaya MCKK sukar ditumpaskan.
Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) berazam untuk tidak akan memberi laluan mudah kepada mana-mana pencabar pada Kejohanan Ragbi Perdana 7 Sebelah MCKK 2015 yang bakal bermula minggu depan.

Bekas tonggak MCKK Amrul Hazarin Hamidon berkata, pasukan itu sudah lebih matang setiap kali berdepan lawan selepas tersingkir pada separuh akhir tahun lalu.

“Skuad ragbi 7 Sebelah MCKK tahun ini diperkuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman dan mereka mahu membawa pasukan itu mara ke sekurang-kurangnya separuh akhir saingan Cup.

“Kami yakin mental pemain sekarang lebih kuat. Mereka sudah belajar daripada kekecewaan dan tidak mahu berputih mata bermain di tempat sendiri selaku tuan rumah,” katanya.

Di separuh akhir tahun lalu, MCKK kecundang kepada Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) dengan keputusan 36-14.

Scots College dari Wellington, New Zealand yang muncul juara tahun lalu selepas menewaskan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail Johor (SSTMI) hadir dengan keseluruhan pemain baru.

Turut beraksi, pasukan dari Thailand Kolej Vajiravudh dan Sekolah Sukan Hong Kong.

“Biarpun tampil dengan 100 peratus muka baru, Scots College bukan pasukan calang-calang kerana skuad ragbi senior 15 mereka beraksi dalam liga utama ragbi New Zealand.

“Kehadiran mereka memberi impak besar kepada kejohanan ini kerana ragbi adalah sukan bertaraf dunia serta diminati ramai.

“Banyak pasukan tempatan boleh belajar sesuatu dengan kehadiran pasukan luar berkenaan,” katanya yang juga pengarah kejohanan.

Kejohanan itu disertai 24 pasukan seluruh negara selain turut menarik penyertaan pasukan Asia dan rantau Pasifik yang bakal merebut kejuaraan dalam kategori Shield, Bowl Plate dan Cup.

Akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd adalah antara 12 rakan penaja Kejohanan Ragbi Perdana 7 Sebelah MCKK yang dijadualkan bermula 28 Februari hingga 1 Mac depan di padang ragbi MCKK.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:10 AM