NAJIB bersama Mustapa (kanan) mencuba produk dipamerkan selepas merasmikan MIHAS 2015  di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
NAJIB bersama Mustapa (kanan) mencuba produk dipamerkan selepas merasmikan MIHAS 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menumpukan sektor farmaseutikal dan kosmetik dalam eksport barangan halalnya bagi meluaskan lagi sumbangan ke dalam jumlah keseluruhan eksport halal Malaysia pada masa depan.

Setakat tahun lalu, eksport halal Malaysia mencatatkan RM37.7 bilion dan sektor kosmetik serta farmaseutikal antara lima penyumbang tertinggi dalam angka berkenaan dengan masing-masing RM1.1 bilion dan RM0.1 bilion.

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, untuk menggalakkan pengeluaran produk kosmetik dan farmaseutikal tempatan, kerjasama dengan negara pakar dalam bidang itu akan dilaksanakan seperti mana kejayaan Malaysia dalam sektor makanan yang dikongsi kepada negara asing lain.

Beliau berkata, perkara itu temasuk di dalam pelan induk pembangunan industri halal yang sebelum ini menumpukan kepada sektor makanan sebagai pendominasi eksport halal dan Malaysia berjaya melaksanakannya sejak pelan induk itu diperkenalkan kira-kira enam tahun lalu.

“Dalam pelan induk itu kita berjaya membangunkan perkara membabitkan peningkatan eksport, pelaburan, pusat rujukan global dan inovasi membabitkan halal.

“Kini, kita akan beralih kepada industri bukan makanan yang dilihat berpotensi diperluaskan di pasaran global terutama pasaran yang mempunyai ramai penduduk Islam,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Halal Dunia 2015 (MIHAS 2015) di sini, semalam.

Hadir melancarkan MIHAS 2015 ialah Datuk Seri Najib Razak yang turut menyentuh mengenai kemampuan halal untuk mengembangkan industri halal di ASEAN serta diperluaskan ke peringkat global menerusi pelaksanaan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 (AEC).

Mustapa berkata, Malaysia melaksanakan pelbagai polisi membabitkan inisiatif, program dan aktiviti bagi menggalakkan sektor swasta mengembangkan industri halal di pasaran tempatan dan asing.

“Kita mampu untuk meluaskan pasaran ke luar memandangkan terdapat unjuran penduduk Muslim dunia akan meningkat daripada 1.8 bilion pada 2014 kepada 2.2 bilion menjelang 2020.

“Merujuk kepada Laporan Ekonomi Islam dan Negara Global, perbelanjaan pengguna Muslim akan meningkat daripada RM7.3 trilion pada 2013 kepada RM13.6 trilion menjelang 2019. Bersandarkan angka ini menunjukkan peluang menerokai pasaran masih lagi luas,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyeragaman pensijilan halal di rantau ASEAN, beliau berkata, ia dilihat mampu untuk dilaksanakan memandangkan ketika ini perbincangan antara beberapa negara di rantau berkenaan antaranya membabitkan Brunei, Indonesia dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 April 2015 @ 8:44 AM