Nabil Basaruddin

Petaling Jaya: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) optimis program 100 Produk Champion yang mengetengahkan produk keluaran usahawan koperasi berupaya menjana nilai jualan sehingga RM4 juta menjelang akhir tahun ini.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, dalam program berkenaan, produk yang menjadi fokus terdiri daripada bahan makanan seperti sos cili, kicap, kerepek, rendang segera dan minuman yang mendapat permintaan di pasaran global.

Beliau berkata, sebagai permulaan, pihaknya bekerjasama dengan Koperasi Sama Kaya dari Brunei memasarkan 41 produk dengan kos keseluruhan mencecah RM100,000 dan yakin ia mendapat sambutan masyarakat negara itu.

“Brunei adalah pasaran yang baik, kami mulakan ia sebagai negara ASEAN pertama dan seterusnya kita meninjau negara lain seperti Singapura, Kemboja dan mungkin menembusi Jepun, Korea dan China.

“Lebih penting, produk kami berkualiti tinggi serta diyakini mempunyai pengesahan halal. Jadi, ia menjadi tambah nilai, sekali gus mewujudkan peluang dan permintaan perniagaan,” katanya pada sidang media program 100 Produk Champion di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail.

Abdul Fattah berkata, rantau ASEAN mempunyai hampir 250,000 koperasi yang beroperasi dan ia menjadi platform terbaik menjalin hubungan perniagaan secara antarabangsa khususnya selepas terbentuknya Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

Menurutnya, program 100 Produk Champion ini bukan sahaja mengukuhkan sektor koperasi negara secara domestik dan global, malah ia merangsang kedudukan ekonomi negara lebih berdaya tahan.

Abdul Fattah berkata, Persidangan, Pameran Dagangan dan Padanan Perniagaan Koperasi ASEAN 2016 (ACOTEX 2016) yang bakal berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos ini di Jakarta, Indonesia bakal memfokus hala tuju sektor koperasi rantau berkenaan.

Menurutnya, ACOTEX 2016 disertai lebih 400 pempamer daripada negara ASEAN serta penyertaan China, Jepun, Korea, India dan Palestine dengan jangkaan lebih 1,000 pengunjung setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 7:28 AM
Abdul Fattah (tengah) bersama Naib Presiden, Datuk Kamarudin Ismail (dua dari kiri)  mengangkat produk 100 Champion bagi pasaran Brunei.
Abdul Fattah (tengah) bersama Naib Presiden, Datuk Kamarudin Ismail (dua dari kiri) mengangkat produk 100 Champion bagi pasaran Brunei.