Kuala Lumpur: Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyarankan kerajaan meningkatkan kemudahan perniagaan francais di rantau ASEAN menerusi pembentangan sempena Persidangan Ekonomi ASEAN (AEC) yang akan berlangsung tahun depan di negara ini.

Ini berikutan sektor francais tempatan kini menunjukkan prestasi positif dalam dagangan eksport dan telah banyak kerjasama dilaksanakan antara pemain industri Malaysia dengan negara asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin (gambar) berkata, faktor ketidakseragaman peraturan dagangan antara negara menjadi cabaran kepada pemain industri tempatan dan sekiranya terdapat mekanisme baru yang dapat diwujudkan dalam persidangan itu memberi kemudahan kepada pemain industri tempatan untuk meluaskan pasaran antarabangsa mereka.

Beliau berkata, PNS secara puratanya mengadakan misi dagangan asing dua bulan sekali untuk membawa francais asing beroperasi di negara ini atau memperkenalkan produk tempatan ke luar negara serta melaksanakan aktiviti padanan perniagaan.

“Terkini ialah menerusi misi dagangan ke Dubai dan terdapat 10 syarikat francais di sana berminat untuk membawa masuk jenama mereka ke Malaysia dan usahawan tempatan yang berminat boleh menghubungi kami bagi menyertai perniagaan mereka.

“Misi dagangan adalah strategi penting kepada industri francias kerana ia membantu meningkatkan kawasan pasaran ke peringkat antarabangsa selain meneroka sektor berpotensi yang baru,” katanya pada majlis menandatangani ikrar integriti korporat (CIP) dan pelancaran unit integriti PNS, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 5:05 AM